Ada peluang main di luar negara, pasti saya akan pergi – Dainnel Aqashah

901

Pemain bola sepak remaja negara Dainnel Aqashah Rakmatulla telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila diiktiraf dalam Champions Book Of World Record.

Dainnel telah berjaya rangkul rekod itu selepas berjaya menimbang bola (juggles) menggunakan sebelah kaki terbanyak iaitu sebanyak 278 kali dalam tempoh seminit.


Sebelum rekod dunia, Dainnel sudah pun memegang rekod sama dalam Malaysia Book Of Records pada tahun 2020 dengan 208, manakala Asia Book Of Records pada tahun 2021 dengan jumlah 278.

“Saya mula juggles semasa negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimanapun ayah saya terfikir untuk buat rekod Malaysia, kemudian Asia dan terakhir rekod dunia.

Saya mula berlatih pada bulan November dan dalam tempoh sebulan saya berjaya raih rekod Malaysia dah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Dainnel, dia tidak berasa gemuruh langsung ketika juggles sebaliknya dia fokus untuk memastikan berjaya beri aksi terbaik.

Dalam pada itu, Dainnel juga merupakan seorang pemain bola sepak di Sekolah Sukan Negeri Perak (SSN Perak), SMK Gunung Rapat memasang impian untuk beraksi di luar negara sekiranya mendapat peluang.

“Memang saya ada impian nak main di kelab luar negara namun saya sedar ia memerlukan kos yang besar untuk ke sana. Bagaimanapun jika saya mendapat tajaan saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkelana ke luar negara.”

Dainnel yang bermain di posisi pertahanan utama berkata dia seorang pemain versatil dan mampu bermain di banyak posisi mengikut taktikal jurulatih.

Sementara itu, Dainnel kini sedang giat berlatih untuk mencari tempat dalam skuad Harimau Malaya bawah 15 tahun.