Sejujurnya saya jangka kita akan menang dalam kedua-dua perlawanan – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi memberitahu beliau menjangkakan pasukannya mampu memperolehi kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos di Dubai, UAE.
“Saya jangka persembahan terbaik daripada pasukan dan seperti yang saya beritahu sebelum ini, ini merupakan peluang terbaik untuk menggunakan pemain baru sebanyak yang mungkin.
Tahun lepas kita sudah bertemu dengan Arab Saudi jadi kami tahu pasukan itu dan pada perlawanan itu kami menang dan Laos pula kita sudah melihat mereka bermain sebelum ini jadi saya jangka ia akan menjadi perlawanan yang baik untuk kami.
Sejujurnya saya jangka kita akan menang dalam kedua-dua perlawanan itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Soleen berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mereka berlepas ke Dubai untuk aksi persahabatan.
Skuad wanita negara akan bertemu dengan Arab Saudi pada 23 Oktober di Dubai Police Stadium dan bertemu Laos pada 26 Oktober di Humaid Al Tayer Stadium.
Dalam pada itu, dua perlawanan persahabatan yang diatur ini adalah sebahagian daripada persiapan pasukan bagi mengharungi cabaran Piala AFF Wanita 2024 di Laos yang dijadualkan berlangsung 23 November depan.
Mengulas lanjut mengenai keputusan undian Piala AFF yang menyaksikan skuad negara diundi bersama Indonesia dan Kemboja.
“Saya sangat gembira dengan undian itu kerana kita berada dalam kumpulan yang mencabar terutamanya Indonesia yang kini sedang rancak membawa masuk pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan.
Kemboja juga satu pasukan yang kuat jadi saya gembira kerana jika kita ingin tingkatkan kualiti permainan kita perlu menentang dengan pasukan yang kuat.”