Harap dapat menang kedua-dua perlawanan! Saya percaya kerjasama adalah segala-galanya – Azurin Mazlan
Penjaga gol utama Malayan Tigress, Azurin Mazlan berharap agar mereka dapat memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos di Dubai, UAE.
Menurut Azurin, selain kemenangan yang dicari namun beliau berkata apa yang penting adalah untuk setiap pemain dapat timba pengajaran baru di sana nanti.
“Secara peribadi saya berharap agar kita dapat menang dalam kedua-dua perlawanan tersebut dan apa yang paling penting adalah kita dapat belajar dari perlawanan persahabatan itu dan bukannya pergi dan pulang tanpa belajar apa-apa.
Kita mahu pergi ke sana dan pulang dengan belajar sesuatu dan sudah semestinya kita mahu mempunyai kerjasama berpasukan yang baik kerana kerjasama adalah segala-galanya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi telah terbang ke Dubai, UAE untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan yang mana mereka akan bertemu Arab Saudi pada Rabu, 23 Oktober 2024 di Dubai Police Stadium dan seterusnya Laos pada Sabtu, 26 Oktober 2024 di Humaid Al Tayer Stadium.
Dalam pada itu, Azurin turut mengakui berasa sedikit penat selepas tidak mempunyai tempoh rehat yang panjang selepas pulang dari kejohanan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang berlangsung di Wuhan, China baru-baru ini.
“Sejujurnya ada berasa sedikit penat kerana seperti semua sedia maklum kami baru pulang dari Wuhan dan kami tidak mempunyai rehat yang panjang tapi saya harap momentum itu dapat dikekalkan.
Kami cuba ‘catch up’ dalam setiap sesi latihan dan apa yang paling penting adalah untuk mendapat ‘recovery’ yang bagus. Jika kami dapat ‘recover’ dengan baik, maka kami akan dapat ‘perform’ dengan baik.”