Kenalan daripada selebriti dan ahli sukan bantu lonjak nama The Gorpis

40

Tidak dapat dinafikan Malaysian merupakan syurga makanan dan pisang goreng merupakan antara makanan yang cukup popular biarpun ia adalah makanan ringan dan seorang anak tempatan Eddy Wadzir telah memodenkan makanan tradisional itu dengan mewujudkan The Gorpis.

Singkatan kepada goreng pisang, The Gorpis menggabungkan cita rasa tradisional dengan sentuhan moden, menjadikannya pilihan yang menarik untuk dinikmati yang mana mereka menawarkan pelbagai ‘topping’ seperti coklat, kejut dan matcha menjadikan ia lebih menarik.


Eddy yang merupakan Pengasas dan juga Pengarah The Gorpis berkongsi kisahnya ketika memulakan perniagaan di tepi jalan pada tahun 2014 sehingga berjaya mempunyai kedai sendiri dan mereka bakal menyambut ulang tahun ke-10 mereka pada Disember ini.

Menurut Eddy, beliau tidak mengambil kredit sepenuhnya atas kejayaan The Gorpis sebaliknya berterima kasih kepada kenalan-kenalan daripada kalangan selebriti dan ahli sukan yang turut menyumbang kepada kejayaannya.

“Selepas setahun kita berniaga di tepi jalan kita telah dihubungi oleh selebriti popular iaitu Nora Danish yang ketika itu dalam perancangan untuk membuka kafenya dan ketika itu nama kita juga sedang ‘trending’ jadi  beliau hubungi kami untuk sertai mereka.

Mereka (kafe Nora Danish) mahu masukkan menu The Gorpis sebagai menu sampingan di kafe tersebut dan sejak itu populariti The Gorpis melonjak naik dan dari situ wujudnya cawangan ketiga, keempat, kelima dan keenam,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tidak hanya selebriti, pemain bola sepak terkemuka iaitu Aidil Zafuan yang merupakan kenalannya turut mengajaknya untuk melebarkan sayap perniagaannya di Johor Bahru.

“Ketika saya buka cawangan di Johor di kafe milik Aidil Zafuan iaitu Seven Café yang mana pembukaan cawangan di Johor juga membolehkan kami mendapat data pelanggan daripada Singapura yang kemudian membawa kepada pembukaan cawangan di negara tersebut.”

Dalam pada itu, Eddy berkata mereka tidak hanya fokus untuk mengembangkan perniagaan sahaja sebaliknya mereka turut serius dalam memastikan kualiti makanan yang disediakan terjaga dan memuaskan.

Malah Eddy sendiri memantau maklum balas dan kritikan daripada pelanggan di media sosial mereka.

“Salah satu untuk kami mendapat maklum balas daripada pelanggan adalah dengan melihat ‘complaint’ di media sosial yang mana ketika itu saya sendiri yang menjaga akaun media sosial The Gorpis.

Jadi dari situ mana-mana pelanggan yang ‘tag’ The Gorpis, kita akan tanya sekali macam mana makanan itu dan Alhamdulillah ketika itu semuanya positif.”

Pernah satu ketika The Gorpis mempunyai kira-kira 15 cawangan di seluruh negara tetapi kesukaran untuk menguruskan dan memastikan kualiti terjaga menyebabkan mereka terpaksa menutup beberapa cawangan.

Eddy turut berkongsi pengalaman manisnya sepanjang bersama The Gorpis apabila mendapat jemputan daripada Mantan Perdana Menteri yang juga Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Antara kenangan manis kami pernah dijemput oleh bekas PM, Tun Mahathir ke rumah anaknya Tan Sri Mokhzani untuk satu majlis keraian jadi kita adalah antara jenama yang pernah dijemput untuk buat katering.”

Sementara itu, Eddy turut memasang impian untuk bawa The Gorpis ke persada antarabangsa satu hari nanti.