Pemain sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di Dubai dan sudah untuk beraksi – Soleen Al-Zoubi

88

Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi memberitahu bahawa pemain-pemainnya sudah pun dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Dubai, UAE dan bersedia untuk turun beraksi esok menentang Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.

“Sesi latihan semalam cukup bagus dan pemain-pemain juga sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan kesemua mereka juga sudah bersedia untuk turun beraksi esok,”

katanya.

Menurut Soleen, banyak perkara yang berubah baik di kem Malaysia dan juga di kem Arab Saudi sejak pertemuan kedua-dua pasukan pada tahun lalu.


“Jika bercakap mengenai tahun lalu banyak perkara yang sudah berubah baik untuk Arab Saudi dan juga Malaysia. Banyak pemain kita yang bermain pada tahun lalu tidak bersama pasukan ketika ini yang mana mereka ini adalah pemain utama.

Untuk kali ini kita juga mempunyai banyak pemain yang mempunyai pengalaman di Liga Wanita Nasional (LWN) jadi saya jangka kesemua pemain sudah bersedia dan berharap pemain baru dapat tampil persembahan terbaik.”

Tambahnya lagi, sasaran utama mereka untuk perlawanan persahabatan kali ini bukannya tertumpu untuk kemenangan sahaja sebaliknya untuk mencuba pemain-pemain baru, namun beliau tetap menerapkan mentaliti menang kepada setiap pemain.

Dalam pada itu, Soleen turut mengakui negara mempunyai beberapa penyerang berpotensi selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan LWN.

“Saya harap mereka akan dapat ‘step up’ pada masa sama tidak mahu mereka berasa gemuruh kerana mereka ini adalah pemain muda. Jika mereka dapat bersedia dari segi mental pastinya mereka bersedia untuk masa hadapan.”

Skud Malayan Tigress akan mengharungi dua perlawanan persahabatan iaitu pertama menentang Arab Saudi pada Rabu, 23 Oktober 2024 dan seterusnya Laos pada Sabtu, 26 Oktober 2024.