Saya harapkan kemenangan menentang Arab Saudi esok – Siti Nurfaizah
Pemain skuad Malayan Tigress, Siti Nurfaizah meletak sasaran untuk menang pada perlawanan pertama persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi esok yang akan berlangsung di Dubai, UAE.
“Ini kali kedua kami menentang Arab Saudi dan berharap kami dapat berikan prestasi jauh lebih baik dari sebelum ini dan saya memang mengharapkan kemenangan esok,”
katanya.
Menurut Siti, pengalaman beraksi di AFC Women’s Champions League (AWCL) baru-baru ini bersama pasukan Sabah FA sedikit sebanyak memberinya lebih keyakinan.
“Pengalaman bermain di AWCL pastinya membuatkan saya bertambah lebih yakin kerana kita semua sedia maklum bahawa AWCL adalah pentas yang lebih kompetitif dan saya juga sudah berdepan dengan pasukan-pasukan berkualiti di mana pemain-pemain mereka pernah bermain di Piala Dunia.”
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi akan mengharungi dua perlawanan persahabatan yang mana mereka akan membuka tirai dengan aksi menentang Arab Saudi pada Rabu, 23 Oktober 2024 dan seterusnya Laos pada Sabtu, 26 Oktober 2024.
Dua aksi persahabatan ini juga merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan menghadapi cabaran Piala AFF Wanita 2024 di Laos yang dijadualkan berlangsung 23 November depan.