Isu tunggakan gaji, usah berlembutlah MFL!
Badan pentadbir liga bola sepak negara dilihat cuba menghulurkan bantuan kepada pasukan-pasukan yang mengalami masalah sebelum liga bermula.
Perkara ini sememangnya satu berita yang jika dilihat daripada satu sudut agak menggusarkan kerana seolah-olah MFL tunduk dengan kisah sedih pasukan yang bertanding. Bukanlah hendak mengatakan bahawa pasukan-pasukan ini tidak perlu dibantu namun, kesudian MFL untuk berlembut seolah tidak kena pada masanya.
Menyoroti kisah Perak FC yang berdepan masalah tunggakan gaji sehingga tidak boleh mendaftarkan pemain-pemain baru bagi musim 2022, ada sebab untuk berasa kecewa dengan kenyataan MFL.
Mengambil kira jumlah tunggakan sehingga jutaan ringgit, dapat dibayangkan bagaimana kantung pasukan sedang kering kontang. Bagaimana pula mahu meneruskan kesinambungan liga untuk musim seterusnya?
MFL pula seakan-akan sedia berlembut untuk memberikan nyawa baru dengan cuba untuk membantu pasukan tersebut beraksi dalam kancah Liga Malaysia.
Umum mengetahui bahawa isu tunggakan gaji bukanlah perkara asing dalam liga. Saban tahun ada sahaja berita kurang enak yang didengar daripada pasukan-pasukan bertanding. Sudahnya dibenarkan untuk bertanding juga. Tidak sampai separuh musim, pemain-pemain angkat kaki. Cerita basi namun tidak ada solusi.
Isu pokok tidak akan selesai. Asal ada pasukan yang merayu untuk bertanding, yang mentadbir liga berlembut. Alasannya apa? Bukan mereka tidak mahu mendaftarkan pemain, tapi berdepan kekangan.
Kalau begitu, mudah sahaja alasan yang akan diberikan nanti. Kewangan tidak kukuh, tapi tetap hendak bermain sebab badan pentadbir liga sendiri akan berlembut juga nanti.
MFL perlu lebih bertegas dalam menangani isu tunggakan gaji yang sentiasa menjadi penghias cerita sensasi setiap musim. Jangan hanya sebab mahu menjaga hati pasukan yang bertanding, tetapi yang menerima nasibnya adalah pemain-pemain.