Charley Hull yakin mampu bangkit catat skor rendah pada hari kedua Maybank Championship 2024

Pemain golf profesional LPGA, Charley Hull menyuarakan keyakinan beliau mampu bangkit untuk mencatatkan skor rendah pada hari kedua Maybank Championship 2024 yang membuka tirainya hari ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

“Ya, saya rasa hari ini saya bermain dengan agak baik dan melepaskan beberapa pukulan di lubang ke-5, par 5 dan satu lagi di par 4 yang mana saya boleh buat pukulan driver ke ‘green’.

Pukulan saya hari ini juga agak baik yang mana saya berjaya mendapatkan birdie di lubagn terakhir dan saya rasa esok saya boleh mencatatkan skor yang lebih rendah,”

katanya.

Hull menamatkan saingan hari pertama di kedudukan ke-55 dengan skor 72 pukulan par.


Dalam pada itu, Hull turut mengakui bahawa beliau bergelut dengan cuaca panas dan alah dengan keadaan lembap yang menyaksikan tangan beliau bengkak dan terpaksa menerima rawatan.

“Saya agak bergelut dengan cuaca panas dan saya sebenarnya alah kepada kelembapan. Tangan saya bengkak semalam dan saya juga terpaksa menarik diri dari Pro-am selepas sembilan lubang.

Kedua-dua tangan saya melepuh dan ia mengganggu permainan saya. Saya telah diberikan tablet (ubat) dan hari ini keadaan tidak begitu teruk.”

Sementara itu, Hull yang turun dengan reputasi menewaskan juara Maybank Championship tahun lalu iaitu Nelly Korda baru-baru ini mengakui sedikit ralat apabila pemain itu terpaksa menarik diri dek mengalami kecederaan.

Beliau bagaimanapun berkata Korda telah mengharungi musim yang cukup cemerlang.

Maybank Championship edisi kali ini menawarkan wang terkumpul sebanyak USD3 juta (lebih RM13 juta) dengan juara akan membawa pulang sebanyak USD450,000 (hampir RM2 juta).