Semangat kekeluargaan jadi kekuatan Manjung City FC
Walaupun tidak mempunyai pemain berstatus bintang dengan rata-ratanya berusia bawah 25 tahun, namun kelab Manjung City FC mampu memberi saingan sengit dalam saingan Liga M3.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Manjung City FC, Issamudin Ibrahim, semangat kekeluargaan yang diterapkan dalam pasukan menjadi rahsia kepada kejayaan mereka.
“Saya kagum dengan pasukan kerana kami tidak mempunyai pemain berstatus bintang. Malah pemain juga rata-rata berusia bawah 25 tahun, namun kami menerapkan semangat kekeluargaan dalam pasukan.
Mereka (pemain) mempunyai semangat yang tinggi dan akan berjuang berhabis-habisan walau apa pun keputusannya. Semangat kekeluargaan itu sangat penting dalam sesebuah pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Manjung membuka tirai saingan Liga M3 dalam kumpulan A yang mana mereka telah berjaya mengutip tiga mata penuh menentang Imigresen FC 3-1, sekaligus meletakkan mereka berada di kedudukan kedua liga.
Kelab yang berpengkalan di Manjung, Perak ini bangga apabila dapat membawa nama daerah sebagai sebuah kelab bola sepak yang mana ia sangat penting dalam mendapatkan sokongan daripada masyarakat terutamanya penduduk di Manjung sendiri.
Biarpun hanya sebuah kelab kecil, Issamuddin tetap menyuarakan keyakinan terhadap pemain-pemainnya untuk pergi lebih jauh.
Malah mereka turut menyasarkan untuk layak ke peringkat akhir sekaligus mahu menjadi juara Liga M3 pada musim ini.
Dalam pada itu, beliau enggan terlalu yakin sebaliknya mahu bersikap realistik dengan melihat prestasi pasukannya terlebih dahulu sebelum fikir untuk pergi dengan lebih jauh seperti naik ke Liga Perdana.
Demi memastikan kelangsungan kelab dan mengelak dari berdepan masalah terutamanya dari segi kewangan, Manjung telah menandatangani dengan empat syarikat yang bertindak sebagai penaja utama.
“Buat masa sekarang ini kami masih belum berdepan sebarang masalah tunggakan gaji dan berharap perkara ini tidak akan berlaku.”
Pada masa sama mereka turut berkolaborasi dengan Majlis Perbandaran Manjung yang mana mereka jadikan stadium di situ sebagai Home Manjung City FC.
Sementara itu, Issamudin mengakui sememangnya sukar untuk menggantikan Perak FC sebagai pasukan utama di Perak, namun mereka akan mencuba sebaik mungkin untuk menaikkan nama Perak dalam dunia bola sepak tanah air.
Untuk minggu kedua Liga M3, Manjung akan bertandang ke Stadium Lada, Langkawi untuk pertembungan dengan FC Langkawi pada 19 Februari ini.