Mirabel Ting pamer berpotensi untuk cipta sejarah di Maybank Championship 2024 esok

114

Pemain golf amatur Malaysia, Mirabel Ting mempamerkan kebangkitan luar biasa di Maybank Championship 2024 selepas mencatatkan skor terendah untuk hari ketiga apabila mencatatkan skor lapan di bawah par untuk mengumpul 206 pukulan 10 di bawah par.

Aksi cemerlang Ting itu menyaksikan beliau berjaya meletakkan dirinya dalam kedudukan 10 daripada 78 pemain yang bertanding dan lebih menakjubkan adalah beliau adalah satu-satunya pemain berstatus amatur yang beraksi pada kejohanan kali ini yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club.


“Hari ini permainan ‘iron’ saya cukup baik dan ‘putt’ saya juga hari ini menjadi jadi itu adalah dua perkara yang cukup baik untuk saya hari ini sekaligus membuatkan saya mampu untuk mencatatkan skor rendah pada hari ini.

Sebelum bermula pusingan ketiga saya ada beritahu kedi saya skor tiga di atas par semalam bukan hari yang baik dan bukan permainan sebenar saya jadi saya beritahu beliau hari ini saya akan bermain dengan mudah dan saya tidak buka langsung ‘yardage book’ sepanjang 18 lubang,”

katanya.

Ting juga teruja dengan kehadiran keluarga dan ramai peminat yang turun untuk memberikan sokongan kepadanya yang mana ia cukup bermakna buat dirinya.

Dalam pada itu, biarpun berada di kedudukan yang cukup baik namun Ting masih dengan pendirian yang sama iaitu beliau beraksi pada kejohanan ini tanpa meletak sebarang jangkaan sebaliknya sasarannya adalah untuk timba pengalaman bermain dengan bintang dunia.

“Saya tidak letak harapan tinggi untuk kejohanan ini kerana saya di sini untuk belajar dan timba pengalaman serta bermain dengan pemain terbaik di dunia. Walau apa pun skor saya di sini saya tetap bangga dengan apa yang saya buat hari ini.”

Sementara itu, Ting juga mengakui perbezaan ketara antara dirinya dengan pemain veteran adalah permainan pendek mereka cukup hebat jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

Oleh itu beliau akan terus bekerja keras untuk tingkatkan kualiti permainannya dari semasa ke semasa.

Selain mencatatkan skor terendah pada hari ketiga, Ting kembali mendahului pemain senegara lain yang turut beraksi di kejohanan ini.