Jaciah Jumilis yakin skuad Malayan Tigress ketika ini mampu pergi lebih jauh

60

Pemain pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Jaciah Jumilis menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan skuad negara ketika ini selepas mereka mempamerkan persembahan yang baik pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Arab Saudi dan Laos.

Pada perlawanan yang berlangsung di Dubai, UAE skuad negara bermula dengan sedikit goyah apabila hanya sekadar seri menentang Arab Saudi tetapi pada perlawanan kedua menentang Laos mereka telah mempamerkan aksi yang bertenaga untuk benam pasukan lawan dengan keputusan 3-1.


“Pada perlawanan pertama kami sedikit bergelut kerana masih mencari rentak tapi apabila turun beraksi dalam perlawanan kedua kita sudah mendapat keserasian dan dapat bermain sebagai satu pasukan.

Pasukan ini dibarisi oleh ramai pemain muda yang mana pada setiap perlawanan tiga pemain baru diturunkan jadi oleh sebab itu kami perlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian tapi saya yakin jika kami terus kekal berlatih bersama pasukan akan menjadi lebih baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Jaciah lagi, perlawanan kedua menentang Laos adalah perlawanan yang cukup baik buat pasukan apabila setiap bahagian berfungsi dengan cukup cemerlang.

“Untuk perlawanan kedua saya rasa perlawanan terbaik sebab keserasian dari bahagian pertahanan, tengah dan serangan cukup bagus.”

Dalam pada itu, dua perlawnan persahabatan yang diatur merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan bagi menghadapi cabaran Piala AFF Wanita 2024 yang akan berlangsung di Laos pada 23 November depan.

Untuk kejohanan AFF, skuad kendalian Soleen Al-Zoubi telah diundi dalam Kumpulan B bersama Kemboja dan Indonesia.

“Bagi saya peluang di Piala AFF sentiasa ada tapi kami satu kumpulan dengan Indonesia dan Kemboja yang mana kedua-dua pasukan ini juga sukar jadi kami akan buat yang terbaik nanti.”