Debut bersama skuad Malayan Tigress, Nurhadfina mahu terus pamer aksi cemerlang
Pemain muda pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Nurhadfina Mohd Firdaus teruja apabila berjaya membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 baru-baru ini.
Menurut Nurhadfina atau mesra dengan panggilan Nina, beliau berterima kasih kepada ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi kerana memberi kepercayaan buatnya untuk turun dalam kedua-dua perlawanan menentang Arab Saudi dan Laos.
“Saya berasa cukup gembira apabila diberi kepercayaan oleh Coach Soleen untuk turun beraksi 90 minit dalam kedua-dua perlawanan biarpun ini adalah kali pertama saya dipanggil untuk menyarung jersi negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Dubai, UAE skuad negara telah mencatatkan seri 0-0 ketika menentang Arab Saudi dan menang 3-1 ketika menentang Laos.
Dalam pada itu, Nina turut tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan senior yang banyak memberi tunjuk ajar baik dalam dan juga di luar padang.
Nina nyata berpuas hati dengan prestasinya dalam kedua-dua perlawanan tersebut tetapi enggan berasa selesa sebaliknya berkata beliau akan terus bekerja keras untuk tingkatkan lagi kualiti permainannya.
“Memang puas hati tapi saya rasa masih banyak perkara yang saya boleh perbaiki terutamanya dari segi ‘basic passing’ dan ‘first touch’ jadi apa yang saya boleh katakan masih banyak yang perlu diperbaiki.”
Nina merupakan salah seorang daripada tujuh pemain baharu yang dipanggil oleh Soleen untuk diuji bagi memperkuatkan pasukan.
Aksi persahabatan antarabangsa ini juga merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan menghadapi cabaran Piala AFF Wanita 2024 di Laos yang dijadualkan berlangsung 23 November depan yang mana skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Indonesia dan Kemboja.