Prestasi skuad negara kali ini melebihi jangkaan saya – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi cukup gembira dengan prestasi pasukannya pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 baru-baru ini yang disifatkan sebagai melebihi jangkaannya.
Menurut Soleen, beliau pada mulanya sedikit bimbang pemain tidak dapat menyesuaikan diri dalam tempoh yang singkat namun pemain telah membuktikan sebaliknya biarpun mereka bergelut pada perlawanan pertama.
“Apa beberapa pemain yang turun bermain buat pertama kali bersama pasukan senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa oleh sebab itu mereka bergelut kerana secara mental mereka gemuruh jadi pemain tidak dapat bermain seperti yang dirancang.
Tapi selepas perlawanan pertama saya bercakap dengan pemain dan kami perbaiki kesilapan ketika sesi latihan dan juga cuba memotivasikan mereka secara mental jadi saya rasa sebab itu mereka turun pada aksi kedua dengan lebih bersedia dan saya percaya mereka mampu buat lebih baik lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Soleen juga berkata beliau tahu kualiti pemain-pemainnya kerana sudah mengikuti perkembangan mereka sepanjang saingan Liga Wanita Nasional (LWN).
“Kami tahu potensi pemain kerana kami membuat analisis untuk setiap pemain tetapi kebimbangan kami adalah mampukah mereka menyesuaikan dalam tempoh singkat tapi ia melebihi jangkaan saya apabila mereka dapat ‘perform’ sebagai satu pasukan yang mana saya sangat gembira.”
Skuad negara mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa yang menyaksikan mereka seri 0-0 ketika menentang Arab Saudi dan menang 3-1 ketika menentang Laos.
Dalam pada itu, Soleen turut berpuas hati dengan prestasi tujuh pemain baharu yang dipanggilnya untuk menyarung jersi negara kali ini.
Ini kerana sasaran utamanya untuk dua perlawanan persahabatan kali ini adalah untuk melihat bagaimanapun gabungan pemain muda dan senior beraksi dan ternyata ia membuahkan hasil sekaligus mencapai sasaran yang dikehendaki.
“Kualiti pemain baharu ini cukup bagus kerana mereka masih muda yang mana mereka mempunyai peluang di usia muda ini jika hendak dibandingkan dengan pemain senior yang tidak mempunyai peluang seperti ini sebelum ini yang mana kini kita mempunyai Liga Wanita Nasional (LWN) yang berjalan sepanjang tahun.
Jadi saya percaya pemain muda ini cukup berkualiti tetapi dari segi pengalaman permainan pula pemain senior mempunyai pengalaman yang luas dan lebih baik.”
Sementara itu, dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad negara sejak kebelakangan ini Soleen berkata mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk kejohanan Piala AFF Wanita 2024 pada bulan November depan.
“Untuk Piala AFF saya percaya kita mempunyai tanggungjawab besar untuk menang dan layak ke peringkat seterusnya.”
Soleen juga memberitahu bahawa beliau akan memanggil pemain untuk ke kem latihan pusat seminggu sebagai persiapan terakhir untuk ke kejohanan itu dan merancang untuk mengatur perlawanan persahabatan sebelum terbang ke Indonesia.