Lolos atau sangkut? Bagaimana nasib skuad Brad Maloney dalam Piala AFC U-23

319

Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama-sama pasukan Korea Selatan, Vietnam dan Thailand dalam kejohanan Piala AFC bawah 23 tahun yang akan berlangsung di Uzbekistan.

Peluang Malaysia untuk melepasi kumpulan ini dilihat sukar namun tidak mustahil jika skuad kendalian Brad Maloney mampu beraksi baik, kejutan akan dapat dilakukan.


Korea Selatan merupakan juara bagi kejohanan yang sama pada edisi 2020 apabila berjaya menumpaskan Arab Saudi. Vietnam pula merupakan naib juara pada edisi 2018 di China yang menyaksikan skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya membuat kejutan dengan mara ke pusingan suku akhir. Manakala kejayaan terbaik Thailand juga adalah layak ke suku akhir pada kejohanan edisi 2020.

Skuad negara sebenarnya memiliki beberapa potensi yang memungkinkan mereka untuk lolos dari kumpulan maut tersebut.

PROS

Mempunyai chemistry yang tinggi

Pemain-pemain tunjang yang membarisi skuad kendalian Brad Maloney adalah muka-muka lama yang sudah sekian lama beraksi bersama. Mereka akan menjadi bintang harapan buat skuad kendalian jurulatih dari Australia itu.

Luqman Hakim, Umar Hakeem, Harith Haiqal, Ahmad Zikri Khalili, Azrin Afiq dan Sikh Izhan antara nama yang sudah lama beraksi menjadi tonggak skuad remaja kebangsaan. Mereka sering dipanggil untuk membarisi skuad muda kebangsaan dalam kejohanan-kejohanan besar.

Pemain-pemain ini merupakan lulusan Akademi Mokhtar Dahari yang sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam menjadi ‘kilang’ membekalkan pemain-pemain yang berkualiti dalam skuad remaja kebangsaan dan seterusnya skuad senior.

Ianya merupakan satu kelebihan buat Brad Maloney dalam mencari keserasian terbaik dalam kalangan pemain-pemain yang akan dipilih nanti.

Masa yang panjang untuk siapkan pasukan

Brad Maloney mempunyai masa yang agak panjang untuk mempersiapkan barisan pemain untuk menghadapi kejohanan tersebut. AFF bawah 23 tahun merupakan medan pertama buat beliau dalam mencari pemain-pemain terbaik sebelum ke kejohanan tersebut.

Piala AFC bawah 23 tahun akan berlangsung pada bulan Jun di Uzbekistan. Beliau mempunyai kira-kira empat bulan untuk memikirkan bayangan pasukan yang akan mengibarkan cabaran Malaysia dalam kejohanan itu.

Berbanding persiapan serba tidak lengkap skuad senior menghadapi Piala AFF baru-baru ini yang terpaksa menunggu sehingga ke saat akhir sebelum menyenaraikan senarai akhir skuad, beliau mempunyai masa untuk memantau pemain-pemain berbakat sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

Memandangkan Liga Malaysia akan bermula pada bulan Mac, ianya waktu yang sesuai buat beliau untuk memantau pemain-pemain muda berbakat yang dirasakan layak untuk menyarung jersi skuad muda kebangsaan.

DNA 3-4-3

Sistem kegemaran Brad Maloney ini sebenarnya banyak memberikan kejayaan kepada skuad muda negara.

Brad Maloney sebenarnya telah lama menggunakan formasi ini sewaktu beliau menjadi pengendali skuad bawah 19 tahun negara lagi. Pemain-pemain yang dipilih kebanyakkan adalah pemain yang sudah mengenali corak permainan yang diterapkan beliau.

Sebagai contoh, gandingan 3 bek tengah yang terdiri daripada trio Selangor FC, Azrin Afiq, Harith Haiqal dan Ahmad Zikri Khalili dilihat cukup ampuh dan mempamerkan aksi yang meyakinkan terutamanya dalam beberapa kejohanan yang terdahulu.

Antara posisi yang penting dalam formasi ini adalah wingback di mana posisi ini menuntut disiplin yang amat tinggi buat para pemain semasa menyerang ataupun bertahan. Umar Hakeem merupakan antara pemain yang sering beraksi sebagai kesebelasan utama mengisi posisi ini.

Namun, disebalik kelebihan yang dimiliki oleh Brad Maloney dan anak-anak buahnya, terdapt juga beberapa perkara yang boleh menjadi penghalang kepada jurulatih Australia itu mendapat keputusan yang cemerlang.

CONS

Pertembungan dengan Kelayakan Piala Asia 2023

Pemain-pemain seperti Arif Aiman, Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim dijangka akan menjadi tonggak utama skuad senior yang akan menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Jun.

Ketiadaan nama-nama ini dalam pasukan secara tidak langsung akan memberikan kesan yang besar disebabkan pengaruh mereka dalam pasukan.

Arif Aiman, antara pemain muda terbaik negara amat diperlukan khidmatnya dalam kedua-dua pasukan. Begitu juga Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim, sudah pastilah keutamaan kepada pasukan senior yang sedang dalam misi melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.

Kejohanan AFF bawah 23 tahun di Kemboja menjadi platform terbaik untuk melihat sejauh mana kesediaan pemain-pemain lain mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain-pemain sandaran tersebut

Ketiadaan goal-scoring machine

Masalah utama yang berlaku kepada skuad ini adalah ketiadaan penyerang yang benar-benar tajam di depan gol juga dikhuatiri akan membantutkan usaha skuad muda negara untuk lolos daripada kumpulan maut.

Azfar Fikri, Azhad Harraz, T.Saravanan dan penyerang muda lain masih kurang bersedia untuk mengisi posisi utama skuad muda negara. Dalam pusingan kelayakan AFC bawah 23 tahun baru-baru ini, skuad negara hanya berjaya menjaringkan 2 gol dalam 3 perlawanan biarpun merekodkan rekod tanpa bolos.

Satu perkara yang agak merisaukan untuk menentang pasukan-pasukan yang memiliki pertahanan yang mantap. Kemungkinan skuad muda negara untuk kehilangan dua penggempur, Arif Aiman dan Luqman Hakim juga seakan sedikit merisaukan untuk menjaringkan gol.

Rekod kurang baik dalam pusingan kelayakan

Biarpun merekodkan 2 kemenangan dan 1 keputusan seri dalam pusingan kelayakan, ianya masih lagi satu keputusan yang kurang meyakinkan.

Skuad negara dilihat bergelut untuk mencipta kemenangan menentang lawan yang mempunyai ranking jauh lebih rendah. Laos dan Mongolia bukanlah lawan yang kuat, namun entah di mana silapnya, pasukan Malaysia terpaksa berhempas pulas untuk menjaringkan gol.

Dikhuatiri apabila menentang lawan yang lebih kuat seperti Korea Selatan, Vietnam dan Thailand, skuad negara akan bergelut untuk mendapatkan keputusan yang baik.