Gabungan bekas pemain Liga Super dan baru mampu julang Manjung City FC
Ketua jurulatih kelab Manjung City FC, Rafae Isa berkata gabungan bekas pemain Liga Super dan baru menjadi ramuan dalam membentuk sebuah pasukan yang ampuh.
Ia telah dibuktikan apabila dalam perlawanan pertama Manjung dalam saingan Liga M3 baru-baru ini mereka telah menundukkan Imigresen FC 3-1.
“Ramai yang tidak tahu sebenarnya banyak pemain-pemain saya ni bekas pemain Liga Super yang pernah beraksi bersama PKNP FC sebelum ini. Jadi dari segi pengalaman, memang kami ada pengalaman.
Ditambah dengan pemain-pemain baru yang mempunyai kualiti saya percaya pasukan saya mampu pergi jauh dalam saingan Liga M3,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa sama, Rafae turut menegaskan bahawa beliau sangat mengutamakan disiplin terhadap pemain-pemainnya.
Bagaimanapun beliau bersyukur apabila mendapat seorang kapten iaitu Muhammad Faizzzwan yang banyak membantunya dalam memastikan setiap pemain berdisiplin dan berada pada tahap terbaik.
Selain pemain berpengalaman, Rafae juga seorang jurulatih berpengalaman apabila pernah menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden PKNP FC, sebelum berhijrah ke Manjung kira-kira tiga tahun lalu.
Memandangkan Manjung dibarisi pemain-pemain muda, Rafae menggunakan taktikal high pressing dan menekankan permainan berpasukan dan tidak mengharapkan kepada skil individu.
Sementara itu, Rafae menyuarakan keyakinan terhadap anak buahnya mampu memperoleh keputusan yang baik untuk musim ini.
“Melihat dari komitmen semua pihak seperti pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain, saya yakin Manjung City FC mampu berada sekurang-kurangnya dalam kedudukan dua teratas liga.”
Pada 19 Februari ini, skuad kendalian Rafae akan bertandang ke Stadium Lada, Langkawi untuk perlawanan minggu kedua Liga M3 menentang FC Langkawi.