Liga hoki sudah guna VAR, liga bola sepak bila lagi?
Semalam Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengumumkan penggunaan sistem ‘Video Assistant Referee’ (VAR) untuk Kejohanan MHL 2022 seperti memberi tamparan hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Jika liga hoki yang yang kurang popular mahu meningkatkan mutu pengadilan liga hoki domestik, kenapa sehingga kini sukan nombor satu negara iaitu bola sepak masih lagi belum memperkenalkan sistem VAR walaupun Liga Malaysia sering terpalit dengan kontroversi pengadilan.
Isu pengenalan sistem VAR ini sudah disuarakan oleh pengkritik dan peminat sejak beberapa tahun yang lalu namun sehingga kini tiada usaha langsung untuk memperkenalkan sistem itu untuk saingan Liga Malaysia.
Topik VAR kembali menjadi topik hangat baru-baru ini selepas pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman ketika ditemubual Harimau Malaysia menyuarakan kesanggupannya untuk mengeluarkan wangnya sendiri untuk membeli VAR sekiranya FAM tiada bajet.
Menurut Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham berkata penggunaan sistem VAR sangat penting dalam meningkatkan kualiti dan dapat mengurangkan kesilapan pengadil dalam membuat sesuatu keputusan di atas padang terutamanya apabila membabitkan perlawanan besar.
Kenyataan daripada Zamsaham kemudian mendapat respon daripada Presiden FAM sendiri iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu Zamsaham datang berjumpa dan berbincang dengan pihaknya.
Malah beliau turut menyelar tindakan Zamsaham yang bercakap dengan media terlebih dahulu mengenai perkara itu sebelum berjumpa dengan pihak FAM.
Sebelum ini memang ada usaha daripada FAM untuk menggunakan VAR dalam saingan liga tempatan, namun terpaksa menangguhkannya berikutan kos untuk membeli sistem itu terlalu tinggi iaitu dianggarkan lebih RM20 juta.
Sistem VAR kini sudah menjadi semakin popular terutamanya di liga Eropah yang sudah pun menggunakan sistem ini bagi meningkatkan kualiti pengadilan.
Persoalan yang timbul di kalangan peminat bola sepak tanah air ketika ini, bilakah FAM akan memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia? Lagi lima tahun? 10 tahun? Atau tidak akan guna langsung?
Tidak dapat dinafikan saban musim pasti akan berlaku beberapa kontroversi membabitkan mutu pengadilan terutamanya apabila melibatkan perlawanan besar.
Lebih parah lagi apabila jurulatih dan pemain tidak boleh mengkritik mutu pengadilan kerana jika berbuat demikian mereka bakal berdepan hukuman daripada FAM seperti ketua jurulatih Kelantan iaitu Rezal Zambery Yahya.
Rezal yang sebelum ini mengkritik mutu pengadilan telah dihukum penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti berkaitan dan didenda sebanyak RM10,000.
Hukuman yang dikenakan membuatkan ramai yang enggan membuka mulut untuk menegur walaupun secara jelas terlihat kualiti pengadilan yang sangat teruk.
Sampai bila liga tempatan akan terus dicemari dengan keputusan-keputusan meragukan oleh pengadil? Jika tiada perubahan dilakukan dalam masa terdekat, jangan harap kualiti liga tempatan akan setanding liga di negara jiran.