Misi mustahil buat Malaysia untuk cuba benam juara bertahan Thailand

38

Pasukan futsal kebangsaan Malaysia terpaksa berdepan jalan berliku selepas tewas 2-0 kepada Vietnam pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 semalam sekaligus membuatkan peluang mereka untuk mara ke peringkat separuh akhir semakin tipis.

Ini kerana pada petang ini skuad negara akan turun menentang juara bertahan Thailand pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia untuk perlawanan ketiga Kumpulan A yang mana ia merupakan misi mustahil buat skuad negara untuk cuba mengutip tiga mata penuh.


Bagaimanapun pastinya ketua jurulatih Rakphol Sainetngam mempunyai perancangan untuk cuba mencuri satu mata berharga untuk mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Selepas dua perlawanan skuad negara berjaya mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan mereka kini berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata, tiga mata dibelakang Thailand dan Vietnam yang masing-masing mengumpul enam mata.

Biarpun skuad negara mempunyai satu lagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Timor Leste esok tetapi perlawanan pada petang ini amat penting yang mana ia akan menentukan nasib skuad negara samada berpeluang mara ke peringkat separuh akhir atau terpaksa pulang awal.

Kejohanan yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand berlangsung dari 2 hingga 10 November.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berakhir pada 7 November dan perlawanan separuh akhir dijadual pada 8 November, manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga pada 10 November.

Untuk rekod, pada Kejuaraan Futsal ASEAN 2022 skuad negara terpaksa pulang awal selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

Mampukah skuad negara buat kejutan? Sama-sama kita nantikan.