Kami di JDT ‘suka’ bekerja di bawah tekanan – Gonzalo Sanz Zaballos

79

Ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim III (JDT III), Gonzalo Sanz Zaballos memberitahu pasukannya sudah bersiap sedia untuk turun beraksi dalam perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 menentang Selangor FC esok.

Menurut Zaballos, selepas pasukan mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan peringkat kumpulan dan peringkat kalah mati, kini tiba masa untuk mereka buktikan yang mereka mampu untuk julang trofi kejuaraan.


“Pasukan beraksi dengan konsisten sepanjang musim ini yang mana kami cuba bersaing dan memperbaiki segala kelemahan dan kami berjaya mara ke final dan sekarang ini tiba masanya untuk kami buktikan sekali lagi yang kami mampu untuk menang lagi seperti tahun lalu,”

katanya.

Zaballos berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan akhir pertama Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Dalam pada itu, Zaballos tidak melihat status sebagai pasukan pilihan sebagai tekanan buat dirinya dan pasukan kerana di JDT mereka sememangnya suka bekerja di bawah tekanan.

“Perlawanan akhir sangat berbeza tapi kami di JDT sememangnya suka bekerja di bawah tekanan yang mana kami sentiasa mahu berikan yang terbaik dalam apa jua situasi tidak kira bermain di tempat sendiri atau pun bermain di tempat lawan.

Seperti yang saya katakan kami datang dengan keazaman tinggi dan keputusan akan ditentukan pada perlawanan esok. Kami positif dan optimis untuk perlawanan esok.”

Sementara itu, Zaballos turut memberitahu bahawa kesemua pemain cergas dan berada pada tahap terbaik untuk perlawanan esok.

Untuk rekod, JDT III mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang Kempen Piala Presiden musim ini apabila mereka mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan.