Kunci kejayaan JDT III adalah hasil usaha 200% setiap pemain – Irfan Shahkimi
Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim III (JDT III), Irfan Shahkimi Shahrizal memberitahu kunci kejayaan pasukan sepanjang kempen Piala Presiden 2024 adalah kerja keras dan usaha 200% daripada setiap pemain yang sentiasa mahu berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
Menjelang perlawanan akhir pertama Piala Presiden esok menentang Selangor FC, Irfan berkata beliau dan rakan sepasukannya sudah pun bersedia untuk turun beraksi dan akan cuba untuk mendapatkan keputusan positif untuk dibawa pulang.
“Saya dan pemain-pemain lain sudah bersedia kerana kami sudah turun membuat persiapan dengan lebih awal untuk perlawanan esok.
Kunci kejayaan pasukan terletak kepada setiap individu dan pemain yang memberikan usaha 200% di dalam dan juga di luar padang,”
katanya.
Irfan berkata demikian dalam sidang media perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 menentang Selangor FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.
Dalam pada itu, Irfan berkata biarpun mereka adalah pasukan pilihan namun beliau dan pasukannya tidak boleh memandang rendah dengan pasukan lawan kerana mereka juga mempunyai ramai pemain yang berkualiti.
“Kita tidak boleh pandang rendah kepada pasukan lawan sebab Selangor mempunyai pemain yang berkualiti tapi kami akan berikan lebih lagi daripada pasukan lawan esok.”
Sementara itu, JDT III mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang Kempen Piala Presiden musim ini apabila mereka mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan.