Afif Fathi, pemain amatur wanita Jing Xuen mendahului hari pertama Yaris Cup dengan 66
Pemain golf profesional Afif Fathi yang baru sahaja mendapat kad jelajah Toyota di Q School pada September lalu tidak mengambil masa lama untuk tunjukkan taringnya apabila beliau berjaya mencatatkan skor 66 pukulan lima di bawah par untuk mendahului hari pertama Yaris Cup yang berlangsung di Mines Resort Golf Club.
Afif mampu untuk menamatkan permainan pada hari pertama dengan lebih rendah apabila berjaya melakukan tujuh birdie namun dua bogey membuatkan beliau terpaksa berpuas hati dengan lima di bawah par sekaligus mendahului satu pukulan di hadapan Daeng Rahman, manakala tempat ketiga diduduki oleh Danny Millis dan Tan Yih Heng.
“Semalam petang saya mengalami sakit tekak dan demam bermula malam semalam. Saya paksa diri untuk bermain walaupun terpaksa bermain dalam keadaan demam.
Tetapi saya gembira dengan permainan saya secara keseluruhan dan berharap selepas berjumpa doktor dan mendapat ubat saya akan berasa lebih baik esok (hari ini),”
katanya.
Dalam pada itu, untuk kategori wanita pula pemain amatur Ng Jing Xuen turut berjaya mencatatkan skor 66 pukulan lima di bawah par untuk mendahului dua pukulan di hadapan Winnie Ng.
Jing Xuen atau “JX” seperti yang dikenali ramai, memulakan pusingannya dari lubang ke-10 dan mencatat birdie di lubang ke-11, ke-13, ke-14 dan ke-15 untuk mendahului empat di bawah par.
Dengan keyakinan tinggi, beliau terus bermain cemerlang dan mencatat birdie di lubang 1 dan 2, untuk berada enam di bawah par sebelum membuat bogey di par 3 lubang ketujuh.
“Saya terlebih memukul pukulan tee saya dan tidak dapat menyelamatkan pukulan itu. Tapi saya sangat gembira dengan permainan saya dan berharap dapat terus fokus dan mengekalkan prestasi ini.”
Jing Xuen, yang baru-baru ini memenangi Kejohanan EFG China Ladies PGA Q di Singapura, bercadang untuk menjadi profesional pada separuh pertama tahun depan.
“Ramai kenalan saya menyarankan agar saya menjadi profesional sekarang, tetapi saya rasa saya masih belum bersedia sepenuhnya. Saya ingin memperbaiki teknik saya terlebih dahulu dan bersaing di Jelajah Toyota akan membantu saya menilai di mana kedudukan saya sekarang.”
Sementara itu, ini adalah musim kedua berturut-turut di mana Mines Resort Golf Club menjadi tuan rumah acara dalam Jelajah Toyota, yang dianjurkan oleh Professional Golf Malaysia (PGM).
Skor Hari Pertama
66 – Afif Fathi
67 – Daeng Rahman
68 – Danny Millis, Tan Yih Heng
69 – Azry Asraf, Nasrullah Zulkifli, Nor Heikal Hadi, Danny Chia, Anson Yeo (am), Ben Leong, Syahiran Syakir, Kenneth De Silva, Yusoff Affandy
70 – Danial Faidz, Amir Nazrin, Shahriffuddin Ariffin, Zia Izzuddeen, U-Minn Woon, Malcolm Ting, R Nachimuthu, Syakir Adli
Wanita
66 – Ng Jing Xuen (am)
68 – Winnie Ng
71 – Geraldine Wong
72 – Zulaikah Nasser, Amalia Shahzan
73 – Liyana Durisic, Alya Afza Hazari (am), Michelle Koh, Wang Xin Yao (am)