Peluang JDT untuk cipta sejarah mara ke pusingan 16 ACL Elite semakin cerah

320

Kelab bola sepak gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mempamerkan prestasi yang cukup menakjubkan apabila berjaya membenam juara K1 League (Korea Selatan) Ulsan Hyundai dengan keputusan 3-0 pada perlawanan keempat AFC Champions League Elite (ACLE) 2024/25 Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam.

Kemenangan ke atas Ulsan Hyundai menyaksikan JDT kekal kebal di SSI dan kini meletakkan mereka di kedudukan ketiga dalam peringkat liga Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.


Berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Harimau Selatan, peluang untuk mereka sekali lagi mencipta sejarah tersendiri di pentas Asia semakin terbuka luas dan tidak mustahil mereka mampu mara ke pusingan 16 terbaik sekaligus mengulangi kejayaan mara ke pusingan 16 ketika beraksi di AFC Champions League (ACL) pada tahun 2022.

Perlawanan seterusnya buat JDT adalah bertemu kelab China, Shandong Taishan FC di tempat lawan di Jinan Olympic Sports Center pada aksi seterusnya, 26 Nov ini.

Terdahulu skuad kendalian Hector Bidoglio memulakan kempen ACLE mereka dengan mengikat Shanghai Port 2-2, menang 3-0 ke atas Shanghai Shenhua dan tewas kepada 1-3 kepada Gwangju FC

Walaupun bermain di tempat lawan, namun melihat kepada prestasi Shandong Taishan ketika ini JDT dilihat tidak akan berdepan masalah besar untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Melihat kepada kedudukan semasa peringkat liga, JDT mungkin hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam mata untuk mengesahkan tempat mereka di peringkat pusingan 16 terbaik.

Apa yang membuatkan peluang buat wakil dari Malaysia ini mampu mara ke peringkat seterusnya adalah kerana dari 12 pasukan, lapan pasukan teratas liga akan mara ke pusingan 16.

Selepas menentang Shandong Taishan, JDT dijadualkan akan bertemu dengan Buriram United (Thailand) pada 3 Disember, Central Coast Mariners pada 11 Februari 2025 dan Pohang Steelers pada 18 Februari 2025.

Dengan baki empat perlawanan liga, JDT dilihat tidak akan berdepan masalah besar untuk mendapatkan keputusan positif untuk keempat-empat aksi itu, malah tidak mustahil untuk mereka mengutip 12 mata sekiranya telah mempamerkan permainan menakjubkan seperti yang diperlihatkan ketika menentang Ulsan Hyundai.

Jika JDT berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik ACLE, ia akan menjadi pencapaian besar dan berjaya mengukuhkan status mereka sebagai salah satu pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Pada masa sama JDT juga telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja kompetitif di peringkat domestik tetapi juga mampu bersaing dengan pasukan terbaik di Asia.

Oleh itu, sebagai peminat bola sepak tanah air tidak kira anda peminat pasukan mana sekalipun ayuh berikan sokongan padu buat Harimau Selatan kerana mereka membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen