JDT III selangkah lagi untuk cipta hatrik Piala Presiden 2024

121

Johor Darul Ta’zim III (JDT III) telah memperlihatkan kehebatan mereka apabila berjaya memenangi perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 selepas menewaskan Selangor FC B-20 dengan keputusan 2-1 malam tadi.

Menurut ketua jurulatih JDT III iaitu Gonzalo Sanz Zaballos, mereka bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama apabila berjaya mendominasi dan menjaringkan dua gol tetapi corak permainan di separuh masa kedua sedikit berubah menyebabkan mereka bolos pada penghujung babak kedua.


“Separuh masa pertama kami sangat baik yang mana kita berjaya menguasai permainan dan mengambil kesempatan itu untuk menjaringkan dua gol tetapi pada separuh masa kedua permainan berubah dan malangnya kami bolos satu gol,”

katanya.

Kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan JDT III akan membawa bekalan satu gol ke Pasir Gudang, Johor untuk perlawanan akhir kedua yang akan berlangusng pada 13 November ini.

“Kami punya kelebihan satu gol untuk perlawanan akhir kedua jadi kami mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi lagi 90 minit permainan nanti.”

Zaballos pada masa sama turut berpuas hati dengan pemain-pemainnya yang berjaya memberikan persembahan yang baik sepanjang tempoh perlawanan.

Sementara itu, kemenangan ke atas Selangor menyaksikan JDT III terus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen Piala Presiden musim ini.