Biarpun dinobat sebagai MOTM, Afiq Danish masih tidak berpuas hati dengan permainannya

110

Pemain Johor Darul Ta’zim III (JDT III), Muhammad Afiq Danish Zulkifli memberitahu beliau belum berpuas hati dengan persembahannya biarpun telah dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (Man Of The Match) pada perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 malam tadi.

Menurut Afiq Danish, beliau berkata masih banyak yang perlu diperbaiki dan beliau berjanji akan memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan kedua nanti di tempat sendiri.


“Prestasi saya untuk perlawanan pertama ini masih lagi belum baik lagi kerana masih banyak lagi perlu diperbaiki dari segi teknikal dan juga taktikal jadi saya harap pada perlawanan kedua nanti saya dan pasukan dapat buat yang lebih baik lagi,”

katanya.

Afiq Danish menjadi watak penting buat skuad JDT III apabila beliau berjaya membantu pasukannya benam cabaran Selangor FC B-20 dengan keputusan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekaligus membawa pulang kelebihan satu gol untuk aksi kedua nanti.

Dalam pada itu, Afiq Danish turut mengulas mengenai permainan pasukannya selepas berjaya mendominasi pada separuh masa pertama kemudian bergelut di separuh masa kedua apabila pasukan lawan menaikkan tempo permainan.

“Tiada perubahan dilakukan untuk separuh masa kedua cuma mungkin dari segi corak permainan Selangor yang berubah membuatkan kita lambat untuk ‘adapt’ menyebabkan kita tidak dapat mendominasi permainan dan banyak mengikut corak permainan mereka.”

Sementara itu, Afiq Danish juga berkata kelebihan satu gol yang dibawa pulang ke Pasir Gudang tidak memberikan mereka kelebihan besar sebaliknya mereka perlu bekerja keras lagi kerana pasukan lawan adalah sebuah pasukan yang berkualiti dan mampu buat kebangkitan.

“Kelebihan satu gol ini tidak bermakna kita boleh berasa selesa untuk aksi kedua nanti kerana keputusan 2-1 ini agak risiko juga kerana Selangor bila-bila masa sahaja boleh buat ‘comeback’ jadi semua pemain perlu beri 200% nanti.”