Tak letak sebarang jangkaan tapi Danny Chia berjaya menjuarai Yaris Cup

46

Pemain golf profesional negara, Danny Chia memberitahu bahawa beliau turun beraksi dalam kejohanan Yaris Cup 2024 tanpa meletakkan sebarang jangkaan langsung sebaliknya mahu menjadikan kejohanan itu sebagai platform untuknya memperbaiki permainannya.

Biarpun tidak berada pada prestasi terbaik, pengalaman luasnya telah menyaksikan beliau mampu mempamerkan permainan yang baik sekaligus berjaya menjadi juara Yaris Cup yang mana ia juga merupakan kemenangan pertamanya pada tahun ini dalam Toyota Tour.


“Saya tidak mempunyai sebarang jangkaan apabila turun bermain minggu ini kerana sejak bulan lepas saya berada di Jepun kerana menyertai kejohanan di sana yang mana saya tidak membuat pukulan dengan baik yang mana ia turut berterusan pada minggu ini.

Jadi sebab itu saya tidak letak sebarang jangkaan sebaliknya fikir mahu perbaiki ‘swing’ saya. Bagaimanapun saya berjaya menang, jadi saya sangat gembira,”

katanya.

Kejohanan yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club menyaksikan Danny berjaya mencatatkan skor 206 pukulan tujuh di bawah par.

Dalam pada itu, Danny turut mengakui beberapa kali permainan terpaksa ditunda kerana hujan lebat sedikit sebanyak membuatnya keletihan dek terpaksa menunggu lama sebelum dapat menyambung semula permainan.

“Sudah semestinya ia memenatkan saya sedikit. Saya rasa terpaksa menunggu lama dek permainan terpaksa ditunda sedikit sebanyak menjejaskan saya.

Tapi apabila permainan kembali bersambung saya gembira kerana cepat untuk kembali bermain seperti biasa. Secara mentalnya minggu ini saya telah buat yang terbaik.”

Sementara itu, Danny turut memberitahu bahawa beliau akan terbang ke Taiwan untuk bermain dalam satu kejohanan senior sebelum pulang ke tanah air untuk bermain pada kejohanan terakhir Toyota Tour Championship (ADT) yang akan berlangsung Kota Permai Golf and Country Club pada 20 hingga 23 November.