Saya terima saja segala kritikan! Apa yang penting saya sentiasa buat yang terbaik – Harith Haiqal

48

Pemain pertahan pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Harith Haiqal memberitahu bahawa beliau terbuka dengan segala kritikan samada baik atau buruk mengenai persembahannya sebaliknya berkata apa yang penting buat dirinya adalah sentiasa berikan yang terbaik apabila diturunkan.

“Bagi saya, saya sentiasa berikan yang terbaik dan apa sahaja yang dikritik ke atas saya, saya terima tidak kira baik atau buruk.

Seperti yang saya cakapkan, saya sentiasa akan berikan yang terbaik jadi saya tidak hiraukan apa yang orang lain nak cakap. Rezeki saya dapat buat debut untuk skuad senior, itu cukup bermakna buat diri saya,”

katanya.

Harith berkata demikian selepas terdapat segelintir yang mengkritik persembahannya ketika membuat penampilan pertamanya dalam skuad senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand sebelum ini.


Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Harith bersama kelabnya Selangor FC terus mendapat perhatian ketua jurulatih negara iaitu Pau Marti yang sekali lagi memanggilnya untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India.

Dalam pada itu, biarpun kini mendapat tempat dalam kesebelasan utama bersama kelab tapi Harith masih lagi belum berpuas hati dengan prestasinya kerana percaya beliau boleh buat dengan lebih baik lagi.

“Belum terbaik tapi bagi saya syukur Alhamdulillah saya dapat minit permainan yang sangat banyak tahun ini dan saya rasa dengan minit permainan yang banyak ini saya dapat ‘catch up’ dengan pemain-pemain lain dan insyaAllah saya akan terus berikan yang terbaik.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand bersama pasukan.

Sementara itu, skuad negara akan mengharungi dua perlawanan di dua tempat berbeza iaitu menentang Laos pada Khamis, 14 November, skuad negara kemudian akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin, 18 November 2024.