Hannah Yeoh seru pakar rumput untuk tampil bantu wujudkan kursus dalam TVET Sukan
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyeru pakar-pakar dalam bidang rumput padang untuk tampil bekerjasa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewujudkan kursus TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Sukan di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
“Ya dalam TVET Sukan ketika ini memang tiada (kursus penjagaan padang), oleh sebab itu kita sedang mencari jadi jika ada pakar-pakar di luar sana dapat tampil bekerjasama.
Kerana berdasarkan pengalaman kita di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika ini kita sangat bergantung kepada tenaga asing, oleh sebab itu kini kita mahu kepakaran itu daripada tenaga tempatan sendiri,”
katanya.
Hannah berkata demikian kerana masalah padang terutamanya di SNBJ ketika perlawanan antarabangsa menjadi perhatian dunia apabila perlawanan bola sepak berlangsung dalam keadaan padang yang cukup teruk.
Keadaan padang yang teruk bukan sahaja merencatkan permainan bola sepak tetapi pemain-pemain juga berisiko mengalami kecederaan serius.
Hannah berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir untuk Sesi Libat Urus TVET sempena Simposium Kemahiran ILKBS 2024 yang berlangsung di Spacerubix, Puchong sebentar tadi.
Dalam usaha memperkasakan tenaga mahir dalam industri sukan tanah air, KBS telah memperkenalkan TVET Sukan di ILKBS yang mana mereka akan mula melaksanakan program dalam bidang Pembinaan dan Penyelenggaran Fasiliti Sukan, Permotoran Sukan (4 roda dan 2 roda) dan Fotografi Sukan.
Sementara itu, Hannah berkata objektif utama TVET Sukan adalah untuk mengurangkan tenaga kerja asing sekaligus dapat memberi ruang dan peluang kepada belia tempatan.
Pada masa sama ia juga akan mengurangkan kos di mana ia akan memberi kelebihan di mana orang ramai akan mendapat akses kepada sesuatu sukan lebih mudah dan murah.
“Objektif kita adalah untuk perkhidmatan dalam sukan ini kalau boleh kita kurangkan tenaga kerja warga asing dan kita libatkan belia kita melalui TVET Sukan supaya kos boleh turun dan akan menjadi akses kepada sukan ini lebih senang dan murah.”