Hannah Yeoh sambut baik tindakan PSM akan buka akaun khas

26

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyambut baik berita mengenai keputusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini dalam proses membuka akaun khas bagi mematuhi syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menerima peruntukan dana daripada kerajaan.

“Bagus! Saya rasa dengan adanya publisiti sekarang dan persatuan juga faham kehendak kita dan saya percaya bahawa mereka sudah berhubung dengan MSN (Majlis Sukan Negara).

Ini situasi ‘chicken and egg’, jika mereka tak buka akaun saya tidak boleh salurkan duit dan jika mereka inginkan duit mereka perlu buka akaun, mudah saja,”

katanya.

Menurut Hannah, hasrat KBS pada tahun hadapan adalah untuk membaiki urus tadbir persatuan-persatuan sukan menjadi lebih telus dan profesional.


“Memang hasrat kita pada tahun depan kita nak baiki urus tadbir persatuan sukan kerana saya percaya kalau urus tadbir yang baik akan menarik minat penaja dan pihak penaja tahu duit mereka ke mana jadi KBS sedang membantu dengan mencari duit untuk semua persatuan jadi mereka perlu bergerak bersama dengan kita.”

Terdahulu, KBS telah meminta Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) untuk membuka akaun khas untuk penyaluran peruntukan dana kerajaan yang mana ia bertujuan dana yang diberikan kerajaan dapat diaudit dan digunakan bagi membantu atlet.

Dilaporkan setakat ini hanya sembilan daripada 19 PSK masih lagi belum membuka akaun bank khas seperti yang diminta KBS.

Dalam pada itu, Hannah juga mahu melihat lebih ramai pentadbir daripada golongan wanita dan juga atlet dalam persatuan sukan.

“Hasrat saya juga untuk melihat lebih banyak lagi pentadbir sukan daripada golongan wanita dan saya juga nak melihat penglibatan atlet dalam pengurusan persatuan sukan.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen