Pemain muda tempatan mampu menyinar di pentas antarabangsa jika terus diberi peluang

230

Semalam telah berlangsungnya perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium PAT, Bangkok, Thailand yang menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia berjaya menewaskan Laos dengan keputusan 3-1.

Kemenangan itu nyata menggembirakan peminat bola sepak tanah air dan ramai yang teruja untuk menyaksikan perlawanan kedua menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin, 18 November 2024 ini.


Disebalik kejayaan skuad kendalian Pau Marti memperoleh kemenangan, perkara yang turut menjadi tumpuan sudah semestinya kepada beberapa pemain muda tempatan yang berjaya membuktikan diri mereka layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Tiga pemain yang menjadi perhatian adalah Harith Haiqal (Selangor FC), Fergus Tierney (Chonburi FC) dan Fazrul Amir (Kelantan Darul Naim FC).

Harith Haiqal yang membuat penampilan keduanya bersama skuad negara telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru untuk memastikan skuad negara bermula dengan langkah kanan biarpun terpaksa bermain dalam keadaan becak.

Pemain berusia 22 tahun ini merupakan antara pemain yang tumpuan kerana pada musim ini beliau menjadi pilihan ketua jurulatih kelabnya Selangor FC untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan setiap kali diturunkan beliau akan membalas kepercayaan dengan mempamerkan aksi cemerlangnya.

Tidak hanya bermain dalam saingan domestik seperti Liga Super dan Piala FA, Harith turut beraksi di pentas Asia di kejohanan AFC Champions League Two (ACL2) yang mana mereka kini berada di kedudukan kedua peringkat kumpulan, maka tidak hairan apabila beliau mendapat perhatian pengendali Pau Marti untuk terus bersama skuad negara untuk dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kali ini.

Turut menjadi perhatian adalah pemain muda berusia 21 tahun iaitu Fergus Tierney yang turut membuat debut bersama skuad seniornya semalam.

Fergus yang berada dalam Senara Bersedia telah dipanggil untuk melapor diri ke kem latihan skuad negara bagi menggantikan Romel Morales yang tidak dapat melapor diri dek mengalami kecederaan.

Biarpun turun beraksi sebagai pemain gantian, namun Fergus telah memperlihatkan permainan yang cukup matang dan mendapat pujian daripada peminat dan ini telah membuktikan bahawa beliau sudah bersedia untuk terus bersama skuad senior.

Seorang lagi pemain muda tempatan yang menjadi tumpuan adalah pemain dari Kelantan Darul Naim FC iaitu Fazrul Amir yang turut berada dalam Senarai Bersedia dipanggil Pau Marti bagi menggantikan Mukhairi Ajmal yang turut mengalami kecederaan.

Walaupun diturunkan sebagai pemain gantian dan mendapat minit permainan kira-kira 10 minit, namun beliau telah menggunakan peluang tersebut dengan cukup baik dengan mempamerkan permainan yang cukup bertenaga.

Tidak hanya mempunyai kelajuan, Fazrul turut mempunyai kemampuan untuk menggelecek pemain lawan selain berani untuk cuba masuk ke dalam kotak penalti lawan.

Dengan kehadiran tiga pemain muda tempatan ini secara tidak langsung telah memberi bayangan bahawa negara tidak ketandusan bakat-bakat tempatan tetapi apa yang membuatkan mereka tidak kelihatan adalah kerana mereka tidak mendapat peluang untuk menyinar.

Oleh itu diharap barisan kejurulatih skuad negara dapat terus memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain muda tempatan berpotensi kerana mereka ini bermain mati-matian dalam saingan liga dengan satu impian iaitu untuk menyarung jersi negara dan bermain demi lencana di dada.