Warrix bukan sahaja nak sediakan kit berkualiti tapi juga mahu tingkatkan kualiti bola sepak di Malaysia

106

Setelah sekian lama ‘menyepi’ dari kancah bola sepak Malaysia, jenama pakaian sukan terkemuka dari Thailand iaitu Warrix bakal kembali memeriahkan Liga Malaysia tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Oeprasi Warrix Sports Thailand, Ann Sujeeporn Settaphiyo, kembalinya mereka ke saingan Liga Malaysia bukan sahaja untuk menyediakan kita bola sepak yang berkualiti untuk kelab yang ditaja, tetapi juga mahu tingkatkan kualiti bola sepak di sini.


“Kami sudah bekerja keras untuk menjadi sebahagian daripada bola sepak di Malaysia yang mana kami bukan sahaja mahu menyediakan kit yang berkualiti tetapi juga mahu tingkatkan kualiti bola sepak di sini.

Selain menaja kelab bola sepak, kami juga akan bekerjasama dengan kelab bola sepak untuk bawa kelab itu menjadi sebuah kelab yang lebih hebat,”

katanya.

Ann Sujeeporn Settaphiyo berkata demikian ketika ditemui di Majlis The Official Launch of Warrix Malaysia di Central i-City, Shah Alam hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, Ann Sujeeporn Settaphiyo turut memberitahu bahawa pihaknya sudah pun mengenal pasti kelab yang akan ditaja oleh mereka tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kelab tersebut kerana ia masih di peringkat perbincangan ketika ini.

Untuk rekod, Warrix membuat kemunculan mereka di kancah bola sepak tanah air pada tahun 2015 apabila mereka menaja kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selama dua tahun iaitu dari 2015 hingga 2016 yang mana ketika itu Sang Kenari berjaya menjadi juara Liga Perdana pada tahun 2015 dan juga juara Piala Malaysia pada tahun 2016.

Warrix juga pernah menaja kelab Melaka United FC pada tahun 2018 dan 2019 sebelum ‘menyepi’ dari saingan Liga Malaysia.

Mungkin Warrix akan kembali menjalin kerjasama dengan KDA FC kerana trek rekod cemerlang kelab itu ketika bersama jenama itu sebelum ini? Sama-sama kita tunggu.