Ia perlawanan yang sengit tapi hari ini kami bermain dengan lebih baik – Rodolfo Villa
Ketua jurulatih Akademi JDT, Rodolfo Villa mengakui perlawanan akhir menentang Buriram United cukup sengit namun permainan pasukannya lebih baik telah membawa mereka untuk menang 2-1 dalam perlawanan akhir Supermokh Cup 2024 B-14.
“Mereka (pemain) sangat kompetitif yang mana mereka telah tunjukkan pada aksi separuh akhir semalam yang mana mereka mahu menjadi juara walaupun perlawanan semalam tidak mudah dan hari juga sama.
Buriram adalah sebuah pasukan yang bagus jadi ia perlawanan yang cukup sengit tapi hari ini kami bermain dengan lebih baik untuk menang,”
katanya.
Kemenangan Akademi JDT itu menyaksikan mereka berjaya menumbangkan juara bertahan.
Perlawanan yang berlangsung Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil telah menyaksikan ketua pasukan Muhammad Fareez Danial Fadzly menjadi wira apabila berjaya menjaringkan kedua-dua gol hasil sepakan penjuru.
Pasukan pelawat berjaya merapatkan jurang pada penghujung babak kedua menerusi sepakan penalti tetapi ia sudah terlambat untuk bangkit dan terpaksa akur.
Rodolfo pada masa sama turut memberi kredit kepada penolongnya iaitu Mohamad Rifa’at yang bertanggungjawab dalam taktikal bola mati (set pieces).
Dalam pada itu, Rifa’at pula memberitahu barisan kejurulatihan sentiasa memberi motivasi kepada pemain-pemain mereka supaya pemain-pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka.
“Untuk pasukan ini tak banyak perkara sebaliknya mereka hanya perlu fokus untuk perbaiki beberapa perkara kecil sahaja kerana mereka berumur 14 tahun tapi kami barisan kejurulatihan sentiasa akan memberi motivasi kepada pemain dan tidak akan marah-marah sebab fokus kita adalah untuk pembangunan untuk jadi pemain profesional.”
Untuk kategori B-14, tempat ketiga menjadi milik Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-14 Dream yang berjaya menewaskan Reliance Foundation Young Champs juga dengan keputusan 2-1.