Kami sertai Supermokh Cup untuk jadi juara dan kami berjaya melakukannya – Nishitani
Ketua jurulatih Zhejiang PFC dari China, Nishitani memberitahu bahawa mereka menyertai kejohanan Supermokh Cup 2024 dengan satu misi iaitu untuk menjadi juara dan beliau gembira apabila berjaya melakukannya.
Zhejiang PFC yang beraksi dalam kategori B-13 telah berjaya mengungguli pada perlawanan akhir selepas berjaya menewaskan pasukan tuan rumah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-13 Future dengan keputusan 1-0 pada aksi yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
“Sudah tentu. Kami sertai kejohanan ini untuk jadi juara dan kami berjaya melakukannya. Bagi kami setiap perlawanan sukar tapi kami bermain dengan cara kami sendiri untuk menang kejohanan ini jadi kami berasa cukup gembira dengan kemenangan ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Nishitani turut berkata dengan menyertai kejohanan Supermokh Cup ini mereka boleh belajar budaya dari negara-negara lain, sekaligus berterima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput mereka untuk menyertai kejohanan berprestij ini.
Dalam pada itu, untuk tempat ketiga pasukan AMD Dream dan Avispa Kukuoka dari Jepun terpaksa berkongsi kedudukan ketiga selepas perlawanan untuk penentuan tempat ketiga dan keempat dibatalkan.