Tahun ini anda akan lihat KL City FC yang baru – Hadin Azman

488

Pemain sayap dan penyerang KL City FC, Hadin Azman berkata pada musim ini peminat akan melihat pasukan KL yang baru pada musim 2022.

“Tahun ini saya rasa dengan penambahan beberapa pemain baru terutamanya pemain muda peminat akan dapat melihat KL yang baru.

Ini kerana pemain-pemain muda ini cepat menyesuaikan diri dengan pemain senior sekaligus mudah untuk kami mendapatkan keserasian. Apa yang saya boleh cakap peminat akan melihat KL yang baru musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa sama Hadin turut meletak sasaran untuk pasukannya untuk mara dengan lebih jauh dalam saingan Piala AFC pada musim ini. KL diundi dalam kumpulan H bersama Tampines Rovers FC (Singapura), PSM Makassar (Indonesia) dan sebuah lagi pasukan dari Myanmar iaitu samada Shan United atau pun Ayeyawady United.


“Untuk saingan AFC ni kami berharap dapat pergi sejauh yang mungkin. Kalau boleh sampai final sebab saya rasa pasukan kita mampu pergi dari jauh.”

Dalam pada itu, pemain berusia 27 tahun itu turut menyuarakan hasratnya untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaysia sekiranya mendapat peluang lagi.

Ini kerana kali terakhir beliau mendapat panggilan skuad kebangsaan dua tahun lalu dan sehingga kini masih belum mendapat peluang.

Musim lalu KL telah menamatkan kemarau piala 32 tahun apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia 2021 selepas menumpaskan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).