Kita ada ‘Plan B’ jika ada pemain yang cedera – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi memberitahu bahawa beliau sudah mempunyai pelan sokongan atau ‘Plan B’ sekiranya ada pemain yang cedera dan tidak dapat bersama pasukan.
“Azurin Mazlan bersedia dan sudah kembali bersama pasukan manakala untuk Intan Serah pula kita sedang menunggu laporan perubatan dan berharap beliau dapat bersama pasukan dan jika tidak dapat bersama pasukan sudah tentu kami sudah ada ‘Plan B’,”
katanya.
Soleen berkata demikian bagi mengulas mengenai status kedua-dua tonggak pasukan yang dilaporkan mengalami kecederaan menjelang kejohanan Piala AFF Wanita 2024 yang akan berlangsung pada 23 November hingga 5 Disember ini di Vientiane, Laos.
Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan kempen Piala AFF dengan perlawanan pertama menentang Indonesia pada Selasa, 26 November 2024 dan Kemboja pada Jumaat, 29 November 2024 di Stadium Nasional KM16, Vientiane, Laos.
Dalam pada itu, Soleen turut memberitahu beliau kini berada dalam situasi yang sukar apabila terpaksa menggugurkan dua pemain daripada 25 pemain kerana hanya 23 pemain sahaja dibenarkan untuk didaftarkan ke kejohanan itu.
“Kesemua pemain sudah bersedia untuk capai sasaran untuk jadi juara jadi sebab itu tugas saya menjadi lebih sukar untuk buat keputusan senarai akhir pemain kerana sejujurnya kesemua pemain memberikan 150% komitmen.
Jadi dari segi itu mereka sudah bersedia tapi apa yang diutamakan adalah untuk sentiasa bersedia dan sebagai contoh jika kita ketinggalan pasukan tidak akan berasa ‘down’ sebaliknya dijadikan sebagai motivasi tambahan untuk bangkit.
Ini adalah personaliti pasukan yang saya mahu lihat dalam pasukan ini.”
Skuad negara akan berlepas ke Vientiane, Laos pada Khamis, 21 November 2024 yang mana mereka akan bermain dengan format secara liga sepusingan yang mana dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.