Saya akan terus bermain selagi khidmat saya diperlukan – Shereylein Pius

34

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan wanita Malayan Tigress, Shereylein Pius memberitahu beliau akan terus bermain selagi khidmatnya diperlukan selepas beliau kembali menyertai skuad negara setelah sekian lama.

“Selagi saya boleh bermain, saya tetap akan bermain. Saya teruja dapat kembali bersama pasukan kebangsaan kerana tak sangka diserap balik ke dalam pasukan ini,”

katanya.

Menurut Shereylein, mungkin pengalaman luasnya bermain di posisi pertahanan ditagih oleh ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi untuk memantapkan barisan pertahanan pasukan untuk kejohanan yang akan disertai mereka bulan ini.


Skuad Malayan Tigress kini dalam persiapan terakhir sebelum terbang ke Laos untuk mengharungi kejohanan Piala AFF Wanita 2024 yang akan bermula dari 23 November hingga 5 Disember ini.

Dalam pada itu, Shereylein juga gembira melihat perkembangan positif pasukan kebangsaan wanita yang mana ia kini dibarisi oleh ramai pemain-pemain muda berkualiti.

Tambahnya lagi, apa yang lebih bagus adalah pemain-pemain muda ini menunjukkan kemampuan mereka untuk bermain dalam situasi tertekan.

“Banyak pemain muda yang boleh bermain dalam kedaan tekanan tinggi yang mana mereka berani pegang bola berbanding pasukan sebelum ini.”

Sementara itu, Shereylein juga gembira melihat situasi semasa apabila pasukan bola sepak wanita semakin mendapat perhatian berbanding sebelum ini yang mana skuad wanita sering dianaktirikan.