Cabaran menggunung menanti Harimau Malaya di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027

528

Harapan peminat bola sepak Malaysia untuk melihat pasukan kesayangan Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Asia 2027 buat kali kedua berturut-turut semakin membuak-buak selepas mempamerkan prestasi yang baik di edisi 2023 biarpun tersingkir di peringkat kumpulan.

Berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh skuad negara yang ketika itu dikendalikan oleh Kim Pan-gon tampak mempunyai peluang cerah untuk layak ke Piala Asia 2027 secara automatik ketika mengharungi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.


Tetapi ia tidak berjalan seperti yang dirancang apabila skuad negara gagal untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menyebabkan skuad negara terpaksa mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac 2025.

Umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga pula’ apabila watak utama dalam kebangkitan skuad negara Pan-gon mengambil keputusan untuk meletak jawatan biarpun masih mempunyai baki kontrak dan tugas itu kini digalas oleh Pau Marti Vicente.

Pau Marti tidak melakukan perubahan besar selepas mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih kerana beliau sudah memahami skuad negara dan telah memperlihatkan prestasi yang agak baik selepas mengharungi lima perlawanan.

Dibawah kendalian Pau Marti, beliau berjaya menamatkan kemarau 11 tahun apabila berjaya membawa skuad negara menjulang piala Pestabola Merdeka selepas berjaya tewaskan Lubnan 1-0 pada aksi akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad negara berjaya menang tiga perlawanan, satu seri dan satu kekalahan.

Berdasarkan perkembangan terkini selepas tamat jendela kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) Malaysia dilaporkan akan berada dalam Pot 2 untuk undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung bulan hadapan.

Berdasarkan ciapan FootyRankings, Pot 1 akan menampilkan pasukan-pasukan hebat iaitu Thailand, Vietnam, Lubnan, Syria, India dan Tajikistan.

Susulan Malaysia berada dalam Pot 2 bermakna skuad negara akan bertemu dengan salah satu pasukan dari Pot 1 jadi amat penting untuk melihat pasukan manakah yang akan diundi bersama kelak kerana ia mungkin akan menjadi penentu samada skuad negara berpeluang untuk layak ke Piala Asia atau tidak.

Peluang untuk skuad negara lebih cerah sekiranya diletakkan dalam kumpulan bersama pasukan dari Asia Tenggara (Thailand dan Vietnam) atau pun Lubnan dan India kerana mereka mempunyai rekod yang agak seimbang.

Bagaimanapun dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan skuad negara telah pun membuktikannya ketika menentang Kyrgyzstan yang menyaksikan Malaysia melakukan kebangkitan luar biasa untuk menang di saat-saat akhir.

Apa pun kita perlu tunggu dan lihat keputusan undian yang akan berlangsung nanti dan selepas undian tamat baru kita akan mendapat gambaran mengenai peluang skuad negara samada mampu layak ke Piala Asia 2027 atau tidak.

Jika berjaya layak, skuad negara akan mencipta sejarah baharu apabila berjaya layak ke kejohanan berprestij di Asia dua edisi berturut-turut secara merit.

Tidak dapat dinafikan, cabaran besar menanti Harimau Malaya di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, namun dengan persediaan yang mantap, kekuatan mental yang teguh, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penyokong, pasukan kebangsaan mempunyai potensi untuk mengatasi segala rintangan dan layak ke Piala Asia.

Ini bukanlah perjalanan yang mudah, tetapi ia adalah peluang besar untuk skuad negara membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen