Apa akan jadi dengan Sabah FC selepas DOKS tidak lagi mengemudi pasukan itu

14

Berita sedih buat penyokong bola sepak Sabah FC apabila Datuk Ong Kim Swee secara sah akan meninggalkan pasukan itu selepas kontraknya tamat pada 24 November ini.

Kim Swee dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa perlawanan Piala Malaysia menentang PT Athletic pada 23 November ini akan menjadi perlawanan terakhirnya.


“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.

Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,”

katanya.

Dalam kenyataan sama, Kim Swee turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pihak pengurusan tertinggi kelab itu atas kepercayaan dan sokongan penuh sepanjang beliau mengemudi pasukan itu.

Dalam pada itu, Kim Swee turut meluahkan rasa bangganya dengan pemain-pemainnya yang cukup profesional dan komited sepanjang bermain dibawah kendaliannya selepas meraih pelbagai pencapaian membanggakan.

Beliau juga tidak melupakan penyokong yang mana beliau turut berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada pasukan dan menganggap penyokong adalah nadi kelab itu.

“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan.”

Dibawah kendalian Kim Swee, beliau berjaya membawa skuad The Rhinos ke pentas Piala AFC dan pada saingan Liga Super musim 2024/25 mereka kini berada di kedudukan ketiga selepas 14 perlawanan.

Sementara itu, persoalan kini adalah siapakah yang akan menggalas tanggungjawab sebagai pengendali pasukan itu dan mampukah pengganti Kim Swee meneruskan prestasi cemerlang pasukan ketika ini.