Daeng Abdul Rahman sasar untuk beraksi di Asian Tour & Thailand Tour pada musim hadapan
Pemain golf profesional negara, Daeng Abdul Rahman kini sedang fokus untuk terus mempertingkatkan permainannya bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan kelayakan Q-School Asian Tour dan Q-School Thailand Tour yang akan berlangsung pada bulan depan.
“Selepas kejohanan ADT (Toyota Tour Championship) saya tidak akan berehat sebaliknya akan fokus membuat persiapan bagi menghadapi dua lagi kejohanan iaitu Q-School Asian Tour dan Q-School Thailand Tour,”
katanya.
Daeng yang sedang beraksi pada kejohanan ADT yang berlangsung di Kota Permai Golf and Country Club (KPGCC) berada pada prestasi yang baik apabila menamatkan aksi hari ketiga di kedudukan ke-10 selepas mencatatkan skor 209 pukulan tujuh di bawah par.
“Semalam permainan saya tidak menjadi apabila banyak pukulan saya tak bagus dan saya terpaksa berdepan situasi yang tidak bernasib baik apabila menamatkan permainan dengan satu di atas par.
Bagaimanapun untuk hari ini saya berjaya mencatatkan skor tiga di bawah par jadi saya agak gembira dengan permainan saya hari ini.”
Dengan skor tujuh di bawah par, Daeng dan seorang lagi pemain negara iaitu Edven Ying kini mengetuai cabaran negara di ADT.
Untuk hari terakhir esok, Daeng memberitahu beliau akan mengekalkan permainan yang sudah dirancang untuk memastikan beliau dapat melakukan banyak birdie supaya dapat meletak dirinya di kedudukan terbaik.
Dalam pada itu, Daeng memberitahu beliau terpaksa akur pada musim ini apabila sasaran untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan tidak kesampaian apabila bergelut dengan masalah kecederaan di bahagian pergelangan tangan yang kembali menghantuinya sepanjang musim ini.
“Sasaran saya nak menang sekurang-kurangnya satu kejohanan tahun ini tapi tidak tercapai yang mana salah satu sebab adalah masalah kecederaan di pergelangan tangan datang balik pada tahun ini dan setiap kejohanan yang saya sertai tahun ini saya terpaksa bermain dalam keadaan sakit.
Jadi ia sedikit sebanyak menjadi penghalang buat saya pada tahun ini.”