Edven Ying pamer aksi cemerlang untuk tamatkan hari terakhir ADT di kedudukan 8 terbaik
Pemain golf profesional negara, Edven Ying mempamerkan permainan cemerlang pada hari terakhir Toyota Tour Championship (ADT) apabila mencatatkan skor 68 pukulan empat di bawah par untuk mengumpul 277 pukulan 11 di bawah par sekaligus meletakkan dirinya di kedudukan lapan terbaik.
Edven menjadi pemain terbaik Malaysia yang turut beraksi dalam kejohanan yang berlangsung Kota Permai Golf & Country Club (KLGCC).
“Hari kondisi badan saya cukup baik selepas mendapat rehat yang cukup semalam jadi hari ini saya turun dengan keadaan terbaik.
Jika saya bermula agak perlahan semalam tapi hari ini dari lubang pertama saya sudah berasa yakin sekaligus membuatkan saya ‘go for it’,”
katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan Edven membawa pulang wang tunai berjumlah lebih RM8,800.
Dalam pada itu, Edven berkata selepas kejohanan ADT beliau tidak akan berehat lagi sebaliknya mahu fokus membuat persiapan bagi menghadapi satu lagi kejohanan antarabangsa yang akan berlangsung di Thailand pada bulan hadapan.
“Kejohanan seterusnya peringkat akhir All Thailand yang akan berlangsung pada bulan depan ini dari 24 hingga 27 Disember ini.”
Sementara itu, Edven berharap beliau dapat teruskan momentum cemerlangnya pada musim hadapan kerana beliau meletak sasaran untuk bermain dengan lebih cemerlang untuk merangkul kejohanan susulan tidak berjaya berbuat demikian pada musim ini.
Selain jelajah tempatan, beliau juga meletak sasaran untuk mewakili Malaysia untuk bermain lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa.