Adelia tekad mahu pertahankan kejuaraan International Junior All-Stars Bowling Championship 2024

48

Pemain boling remaja negara yang juga juara bertahan Adelia Nur Irwan Syazalee mahu mempertahankan kejuaraan International Junior All-Stars Bowling Championship 2024 yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes dari 4 hingga 15 Disember ini.

Menurut Adelia, beliau sudah pun membuat persiapan rapi bagi mengharungi kejohanan ini, tambahan tahun ini merupakan tahun terbaik buat dirinya apabila berjaya merangkul pingat emas bagi kategori berpasukan pada IBF World Youth Championship.


“Alhamdulillah tahun lepas saya dapat jadi juara jadi untuk kejohanan kali ini sudah tentunya saya akan buat yang terbaik untuk menang kejohanan ini.

Bagi memastikan saya dapat beraksi dengan baik, saya menonton balik permainan saya sebelum ini dan cuba memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Saya rasa tahun ini adalah tahun yang terbaik buat diri terutamanya dari segi kekuatan dan stamina sekaligus membolehkan saya bermain dengan lebih konsisten,”

katanya.

Menurut Adelia, biarpun turun beraksi sebagai juara bertahan namun beliau tidak berasa tertekan langsung sebaliknya berasa cukup yakin dengan dirinya untuk memberikan yang terbaik sahaja pada hari kejohanan nanti.

Kejohanan International Junior All-Stars Bowling Championship ini akan menyaksikan sebanyak 16 negara termasuk Malaysia akan menyertai dengan lebih 800 pemain akan bersaing untuk merebut kejuaraan.

Dalam pada itu, Adelia mengakui cabaran besar menantinya kerana ramai pemain boling hebat akan turut beraksi namun fokus beliau ketika ini adalah dengan permainannya sendiri sahaja.

“Pesaing yang menyertai kejohanan ini semuanya pemain yang bagus dan saya juga mengenali mereka dari kejohanan antarabangsa lain jadi saya faham dengan ‘game plan’ mereka dan mereka juga sudah faham dengan ‘game plan’ saya.

Jadi sekarang ini saya hanya fokus dengan diri saya dan cuba tingkatkan permainan saya.”

Selain fokus dengan kejohanan ini, remaja berusia 17 tahun itu juga kini sedang fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, International Junior All-Stars Bowling Championship merupakan kejohanan paling berprestij di Asia yang mana ia menawarkan jumlah wang hadiah sebanyak RM200,000 menanti pemenang.