Piala Cabaran 2024 musim ini lebih ‘mencabar’ dengan kehadiran Selangor FC
Perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia 2024 sudah pun tamat dengan kejutan besar berlaku apabila Selangor FC tersingkir awal selepas dikejutkan oleh Sri Pahang FC 3-2 secara agregat.
Selangor yang merupakan antara pasukan pilihan untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan tertua di negara ini kerana mereka musim ini berada pada tahap terbaik apabila turut beraksi di pentas Asia iaitu di AFC Champions League Two (ACL 2).
Kekalahan mengejut The Red Giants itu menyaksikan mereka masih berpeluang untuk menjulang trofi apabila mereka kini akan bermain dalam kejohanan Piala Cabaran 2024 yang akan turut disertai oleh pasukan-pasukan yang tewas di pusingan 16 Piala Malaysia.
Juara edisi lalu PDRM FC yang tewas di pusingan 16 akan cuba mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka dan cabaran besar menanti mereka berikutan saingan kali ini tampak lebih mencabar.
Selain PDRM dan Selangor, Piala Cabaran edisi ini turut disertai oleh Kedah Darul Aman FC (KDA), Kelantan Darul Naim FC (KDN), Penang FC serta dua pasukan dari Liga A1 (semi-profesional) iaitu Melaka FC, KL Rovers dan Putrajaya Athletic FC.
Saingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Cabaran akan berlangsung secara timbal balik.
PDRM dijangka tidak akan berdepan masalah besar untuk sekali lagi mara ke perlawanan akhir kerana mereka akan bertemu dengan pasukan Melaka FC pada aksi suku akhir.
Jika mereka berjaya menang, skuad The Cops berkemungkinan akan bertemu samada Kedah atau KL Rovers dan berdasarkan situasi semasa Sang Kenari dijangka tiada masalah untuk mara ke separuh akhir.
Bagaimanapun pertembungan antara PDRM dan KDA akan menyaksikan juara bertahan mempunyai kelebihan kerana pasukan lawan ketika ini berada dalam situasi yang cukup sukar dek masalah kewangan yang parah sehingga ketua jurulatih Nafuzi Zain meletak jawatan serta ada pemain yang memboikot perlawanan.
Sekiranya perjalanan PDRM berjalan lancar dan mereka berjaya mara ke perlawanan akhir, mereka berkemungkinan besar akan bertemu dengan pasukan gergasi Selangor.
Ini kerana Selangor dilihat tiada masalah besar untuk mara ke perlawanan akhir kerana aksi suku akhir mereka akan bertemu dengan pasukan kedua tercorot Liga Super iaitu KDN.
Jika berjaya, Selangor akan menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir melibatkan Penang dan Putrajaya Athletic.
Dengan masalah tidak konsisten Penang musim ini dan kemelut yang dihadapi oleh Putrajaya Athletic, Selangor dilihat tiada masalah untuk menang sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir.
Jadi, adakah PDRM mampu mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut? Atau Selangor akan dinobat sebagai juara baru? Atau pasukan lain akan buat kejutan? Sama-sama kita nantikan.