Bantuan Kewangan KBS: Peluang dana untuk pembangunan sukan di Malaysia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan pelbagai jenis bantuan kewangan yang bertujuan untuk memajukan sukan di negara ini.
Menurut Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Nor Azli bin Mohamad Daud, tiga jenis dana yang disediakan KBS ialah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), Geran Program Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).
Setiap dana ini memiliki objektif dan kriteria permohonan yang berbeza yang boleh diakses secara dalam talian melalui portal rasmi KBS.
“Di KBS kita menyediakan tiga jenis dana iaitu Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) kemudian kita ada Geran Padanan Sukan (GPS) dan satu lagi ialah Dana Sukan Komuniti (DSK). Jadi ketiga-tiga dana ini dibuka di atas talian yang mana semua yang layak memohon boleh memohon melalui sistem yang disediakan.
Cuma kepada mereka yang berminat saya nasihatkan supaya buka laman web KBS untuk mohon dan perlu baca syarat-syarat dan kriteria yang perlu dipatuhi kerana tiga jenis dana ini berbeza mengikut pemohon-pemohon yang layak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN)
KWASN ialah dana yang diwujudkan untuk menyokong atlet dan pasukan kebangsaan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi di peringkat antarabangsa. Ia bertujuan untuk memastikan atlet Malaysia mampu bersaing di acara besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, dan kejohanan dunia.
Bantuan kewangan ini boleh digunakan untuk persiapan atlet, termasuk latihan intensif, penyertaan dalam pertandingan antarabangsa, serta perbelanjaan lain yang berkaitan seperti peralatan dan tiket perjalanan. Syarat permohonan bagi dana ini adalah ketat, hanya untuk atlet yang mewakili negara atau pasukan kebangsaan yang bertanding di peringkat tinggi.
Geran Padanan Sukan (GPS)
GPS ditujukan kepada persatuan sukan yang ingin mengadakan program pembangunan sukan. Ia bertujuan untuk menyokong aktiviti sukan yang membantu memperkembangkan sukan-sukan tertentu di peringkat negara dan antarabangsa.
Bantuan ini tidak hanya untuk atlet tetapi juga untuk pengurusan acara sukan. Dengan bantuan GPS, banyak sukan tempatan berjaya mengadakan kejohanan dan program latihan yang menghasilkan atlet berbakat yang kemudiannya bersaing di peringkat tinggi.
Dana Sukan Komuniti (DSK)
DSK ialah dana yang diberikan kepada komuniti setempat untuk mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi dengan tujuan utama dana ini untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan yang lebih santai dan tidak kompetitif.
Namun, meskipun fokusnya pada sukan massa, dana ini juga memberi impak besar kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi dengan melibatkan komuniti dalam kegiatan sukan yang dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan.
Nur Azli memberitahu selain dana kepada sukan prestasi tinggi, KBS menyediakan dana kepada sukan yang tidak berada dalam sukan prestasi tinggi.
“Beberapa jenis sukan ini telah berjaya memperoleh kejayaan yang luar biasa. Kita mungkin mengidam untuk mendapatkan mana-mana pingat atau kedudukan tinggi dalam Piala Dunia. Selain badminton, kita tak nampak.
Tapi jangan terkejut kita sebenarnya ada ‘top scorer’ untuk kejohanan dunia sukan kanu, begitu juga dengan kejohanan dunia untuk sukan Dragon Boat yang mana kita berjaya dapat tempat pertama. Itu belum cerita paragliding yang mana kita juga dapat tempat pertama.
Jadi semua kejayaan ini sebenarnya kesan daripada dana-dana yang telah disediakan oleh kerajaan khasnya melalui KBS.”
Nor Azli turut memberitahu selain sukan tradisional pihak KBS turut memberi perhatian kepada sukan-sukan hybrid atau sukan modifikasi seperti pickleball.
Sukan-sukan baru ini semakin popular dalam kalangan masyarakat, dan KBS melalui dana yang ada, memberikan sokongan kepada perkembangan sukan tersebut.
Terdapat 103 jenis sukan yang layak menerima bantuan daripada KBS, termasuk sukan tradisional dan sukan rakyat.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai Dana Sukan Komuniti atau DSK ia merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui sukan terutamanya setelah negara melalui fasa sukar akibat pandemik COVID-19.
“Untuk DSK dia ada dua kriteria atau dua mekanisme. Satu permohonan yang kita salurkan kepada negeri, jadi maksudnya kalau komuniti itu berada di Selangor jadi dia boleh memohon di Jabatan Belia dan Sukan negeri.
Kadar pemberian itu dari RM5,000 hingga RM20,000 sebab ini untuk sukan komuniti. Jika anda mahu buat program lebih besar, mereka boleh mohon dana yang berbeza iaitu ‘matching grant’.”
Permohonan Melalui Pejabat Belia dan Sukan Negeri (JBS)
Jika komuniti tersebut terletak di negeri tertentu, permohonan akan diproses oleh JBS negeri masing-masing. Program ini memberi peluang kepada persatuan sukan atau komuniti yang berdaftar di bawah Jabatan Belia dan Sukan untuk memohon dana ini.
Permohonan Melalui Kelab atau Pertubuhan Belia
Bagi komuniti yang tidak mempunyai persatuan sukan yang berdaftar mereka boleh mencari kelab sukan berdaftar untuk bekerjasama dalam membuat permohonan. Alternatif lain adalah untuk menubuhkan kelab sukan baru dengan sekurang-kurangnya tujuh orang ahli dan mendapatkan penaja sebelum memohon.
Kriteria dan Jumlah Dana
Bergantung kepada jenis permohonan dan negeri, bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk geran dengan jumlah maksimum sehingga RM20,000. Dana ini diberikan terlebih dahulu sebelum program dilaksanakan, berbeza dengan jenis dana lain yang diberikan selepas pelaksanaan. Permohonan mestilah dilakukan sebelum program berlangsung bukan selepas.
Selain itu, pihak yang memohon mestilah memenuhi syarat tertentu seperti memiliki laporan tahunan atau maklumat lengkap yang diperlukan oleh pihak berwajib.
Had Permohonan dan Proses Pengeluaran Dana
Setiap persatuan atau kelab hanya dibenarkan memohon dana ini satu kali dalam dua tahun kecuali jika mereka terlibat dalam penganjuran bersama dengan jabatan kerajaan. Ini bagi memastikan dana ini digunakan dengan bijak dan memberi impak yang besar kepada komuniti. Untuk program yang lebih besar atau lebih kompleks, pihak berkenaan boleh memohon melalui dana lain yang turut disediakan oleh kerajaan.
Geran Padanan Sukan (Matching Grant)
Satu lagi bentuk sokongan kewangan yang disediakan oleh kerajaan melalui KBS ialah Geran Padanan Sukan (matching grant). Berbeza dengan Dana Sukan Komuniti, geran ini diberikan selepas pelaksanaan program berdasarkan jumlah sebenar perbelanjaan yang telah dibuat. Sebagai contoh, jika sebuah program bernilai RM100,000, kerajaan akan memberikan RM50,000 sebagai padanan. Walau bagaimanapun, dana ini berbeza kerana pembayaran dilakukan selepas laporan dan dokumen yang lengkap diserahkan oleh pemohon.
Tegas Nor Azli, setiap permohonan yang diterima akan dipantau dengan teliti bagi memastikan dana yang digunakan dengan cara yang betul dan berkesan yang mana proses pemantauan ini dilakukan sebelum, semasa dan selepas acara atau program dilaksanakan.
“Pihak berkuasa akan memeriksa laporan serta dokumen yang dihantar oleh pemohon dan dalam beberapa kes, pemantauan secara langsung juga dilakukan semasa acara berlangsung.
Kerajaan juga akan memastikan proses ini berjalan dengan telus. Semua penerima dana akan dipaparkan di portal KBS supaya tiada sebarang isu berkaitan ketidakadilan atau pilih kasih.”