Juarai BATC 2022 bukan ukuran sebenar skuad badminton negara
Kejayaan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-0 dalam aksi akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 merupakan satu usaha yang perlu dibanggakan. Ianya merupakan satu kejayaan bersama melibatkan para pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan.
Namun, usah terbuai terlalu lama dengan kejayaan ini memandangkan kesemua pasukan ternama Asia yang beraksi dalam kejohanan ini tidak menghantar pasukan terbaik mereka. Tiada Kento Momota, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi untuk Jepun.
Manakala Indonesia juga turun tanpa nama-nama seperti Anthony Sinisuka Ginting dan dua beregu yang berkedudukan nombor satu dan dua dunia iaitu Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo serta Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan.
Jaguh Asia, China juga tidak menghantar pasukan untuk menyertai kejohanan pada kali ini.
Malaysia menghantar barisan pemain terkuat dalam kejohanan ini. Namun, ada kalanya terpaksa juga berhempas pulas sebelum menewaskan lawan masing-masing. Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia misalnya terpaksa berhempas pulas menumpaskan pemain-pemain kurang ternama dari Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.
Begitu juga gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang turut bergelut ketika menentang pasangan dari Korea Selatan dan Indonesia sebelum muncul sebagai pemenang dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Sebelum itu, gandingan ini tewas mengejut kepada gandingan ranking ke-857 dari Jepun, Ayato Endo dan Yuta Takei.
Pemain-pemain backup yang lain juga masih belum teruji apabila tidak berpeluang menentang lawan-lawan terbaik. Ng Tze Yong, Aidil Sholeh, Jacky Kok, Lim Chong Kim dan Leong Jun Hao masih jauh untuk menjadi perseorangan terbaik negara selepas Lee Zii Jia biarpun pemain-pemain ini menunjukkan potensi yang baik sepanjang kejohanan berlangsung.
Sasaran layak ke Piala Thomas 2022 sudah dapat dipenuhi. Namun, untuk melihat sejauh mana pasukan ini dapat melangkah jauh masih menjadi tanda tanya.
Terdapat seolah-olah jurang yang besar antara sandaran utama dan juga barisan pemain backup yang lain. Jika menentang lawan yang lebih kuat seperti China, Jepun mahupun Indonesia, sudah semestinya bebanan akan lebih terletak kepada pemain-pemain ini sekiranya sandaran utama tidak menampilkan aksi yang terbaik.
Mungkin beregu profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi boleh dipanggil kembali untuk memperkuatkan skuad negara terutamanya menghadapi kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas. Beregu yang berada pada kedudukan ke-11 dalam ranking dunia merupakan gandingan yang paling sesuai untuk memperkuatkan barisan pemain negara.
Ditambah pula gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani yang kini menjadi sandaran beregu kedua negara, sudah pasti skuad badminton lelaki negara mempunyai bahagian yang kuat untuk menentang pasukan-pasukan utama dunia.
Perlu diingatkan kejayaan menjuarai BATC 2022 merupakan satu permulaan. Namun, persiapan rapi perlu dilakukan oleh BAM dan barisan kejurulatihan dalam mencari adunan terbaik menghadapi kejohanan yang akan datang.