Pau Marti optimis Harimau Malaya mampu mara ke separuh akhir Piala AMEC 2024

195

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti memberitahu beliau sudah menjangkakan perlawanan menentang Kemboja sememangnya sukar terutamanya bermain di tempat lawan di mana pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan.

Pau Marti bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya sepanjang tempoh perlawanan.


“Secara keseluruhan, saya rasa perlawanan agak seimbang. Saya tidak boleh ‘complaint’ tentang bagaimana kami berjuang, bagaimana para pemain menunjukkan komitmen terhadap permainan, tetapi ya pemain kecewa dengan keputusan.

Selepas mendahului 1-0 pada minit ke-15 separuh masa pertama, kami bolos dua gol pada separuh masa kedua. Kami sekali bolos melalui situasi bola mati dalam dua perlawanan berturut-turut. Tapi secara keseluruhan, saya gembira dengan cara pemain bermain.

Ini adalah perlawanan pertama, gol pertama dan pemain mula membiasakan diri dengan pengalaman ini. Walaubagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki,”

katanya.

Pada perlawanan pertama Kumpulan A Piala AMEC 2024 menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa berpuas hati selepas seri 2-2 dengan Kemboja pada aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Pau Marti positif apabila pemainnya tidak pernah menyerah kalah dan mampu bangkit untuk menyamakan kedudukan, sekaligus beliau memahami apabila melihat anak buahnya berasa marah dan kecewa kerana mereka mahukan kemenangan. Skuad negara kini mempunyai tempoh dua hari untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Timor-Leste pada 11 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Jadi sekarang kini mempunyai dua hari lagi untuk buat persedian bagi perlawanan seterusnya. Seperti yang saya katakan ini baru perlawanan pertama jadi kami perlu berjuang untuk mara ke separuh akhir.”

Beliau pada masa turut gembira melihat prestasi Jimmy Raymond yang membuat debutnya bersama skuad Harimau Malaya biarpun hanya sempat menjalani latihan sebanyak dua sesi sebelum turun beraksi.

Sementara itu, Pau Marti kekal optimis dengan peluang skuad negara untuk melangkah dengan lebih jauh lagi pada kejohanan kali ini.

“Ya ini adalah sasaran kami. Ini yang kami mahukan. Kami mahu menang setiap perlawanan.”

Selepas menentang Timor-Leste pada 11 Disember ini, skuad negara akan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 14 Disember dan akan menutup kempen peringkat kumpulan pada 20 Disember menentang Singapura di SNBJ.