Peluang Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 cerah!
Peluang untuk melihat pasukan kebangsaan Malaysia sekali lagi layak secara merit ke kejohanan Piala Asia 2027 cerah!
Ia susulan undian untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang baru sahaja berlangsung sebentar tadi telah menyaksikan skuad negara telah diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal.
Berdasarkan keputusan undian, Malaysia dan Vietnam boleh dikatakan sebagai pasukan pilihan untuk merebut slot ke kejohanan berprestij yang akan berlangsung di Arab Saudi nanti, namun tetap perlu berhati-hati dengan ancaman daripada pasukan Nepal dan Laos kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
Secara kasarnya, sudah pasti Vietnam akan menjadi pasukan pilihan berdasarkan kedudukan FIFA ranking di mana mereka berada di kedudukan ke-116, manakala Malaysia pula berada di kedudukan ke-132.
Kedua-dua pasukan Malaysia dan Vietnam ini telah beraksi pada kejohanan Piala Asia 2023 pada awal tahun lalu di Doha, Qatar yang menyaksikan mereka tersingkir awal di peringkat kumpulan dengan Vietnam pulang tanpa sebarang mata, manakala Malaysia pulang dengan satu mata.
Tidak dapat dinafikan Vietnam merupakan salah sebuah pasukan gergasi di rantau Asia Tenggara, namun prestasi pasukan Golden Star Warriors pada tahun ini turun dengan mendadak selepas peletakan jawatan Park Hang-seo.
Untuk rekod pada tahun ini, mereka telah mengharungi sebanyak 11 perlawanan (termasuk perlawanan persahabatan, Piala Asia 2023, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026) dengan hanya mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan sembilan kekalahan.
Manakala untuk pasukan Malaysia pula, mereka mempamerkan prestasi yang agak baik biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk peletakan jawatan ketua jurulatih Kim Pan-gon.
Bagi tahun ini, skuad Harimau Malaya telah mengharungi sebanyak 15 perlawanan (termasuk perlawanan persahabatan, Piala Asia 2023, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 & Pestabola Merdeka, Piala AMEC) dengan mencatatkan lima kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.
Dalam pada itu, berdasarkan prestasi semasa skuad negara dilihat tidak akan berdepan masalah untuk mengutip enam mata penuh (tempat sendiri/tempat lawan) menentang Nepal kerana kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu ia berpihak kepada Malaysia dengan keputusan 5-1.
Namun untuk pasukan Laos, semalam pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di kejohanan Piala AMEC 2024 yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Biarpun seri, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai ukuran kerana skuad yang diturunkan untuk Piala AMEC adalah skuad yang berbeza atau boleh dikatakan bukan skuad utama kerana ketiadaan ramai tonggak utama.
Oleh itu, melihat kepada prestasi semasa skuad negara sepatutnya tidak akan berdepan masalah untuk mengutip mata maksimum (enam mata) apabila menentang Nepal dan Laos serta mengambil kesempatan atas prestasi ‘yoyo’ Vietnam ketika ini untuk tidak keciciran mata sekiranya mahu layak ke Piala Asia.
Ini kerana untuk pusingan ketiga kelayakan, hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak, jadi ini adalah peluang buat skuad negara untuk sekali lagi mencipta sejarah layak ke kejohanan itu secara merit buat kali kedua berturut-turut.