Sebulan dua lagi baru kita akan dapat laporan mengenai NFDP – Windsor Paul

96

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memberi anggaran bahawa pihaknya akan menerima laporan penuh mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi sebelum dapat membuat penilaian.

“Belum, kita masih lagi menunggu laporan-laporan daripada semua pihak dan pihak kita pun sedang menunggu dan kita harus meneliti laporan dan minta penjelasan dan sebagainya.

Jadi sebelum dua baru kita akan dapat laporan atau apa-apa perkembangan,”

katanya.

Windsor berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini selepas beliau sebelum ini turut terlibat dalam perbincangan untuk menilai semula struktur program NFDP bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.


Penilaian semula itu akan dilakukan oleh AFC bagi memastikan kerajaan dapat meneliti keberkesanan program NFDP dan memutuskan samada ia perlu penambahbaikan atau tidak.

Windsor berkata demikian ketika ditemui selepas tamat majlis undian untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di ibu pejabat AFC di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Windsor turut mengesahkan bahawa pasukan Syria masih belum layak menjadi tuan rumah untuk perlawanan antarabangsa kerana tiada infrastruktur di sana buat masa ini.

“Syria memang tidak boleh jadi tuan rumah sudah lebih 10 tahun, jadi kita tidak melihat perlawanan akan diadakan di sana kerana infrastruktur pun tiada buat masa ini.

Mungkin pada masa hadapan kita tidak tahu tetapi untuk perlawanan tahun depan, saya rasa tiada perubahan kepada status mereka sebagai pasukan yang perlu bermain di tempat berkecuali.”

Sementara itu, Windsor turut sempat mengulas mengenai keputusan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak akan mempertahankan jawatan presiden badan induk bola sepak negara yang dipegangnya sejak 2018 pada Kongres FAM awal tahun depan.

“Saya rasa keputusan yang beliau buat adalah sesuatu yang beliau sudah fikirkan, sebab apabila seseorang itu berada di tempat itu, biasanya kita lihat untuk melepaskan jawatan itu susah.

Tapi dalam konteks Tan Sri Hamidin, saya rasa beliau mengambil satu keputusan untuk melepaskan jawatan. Sebab ap akita tidak akan tahu sehingga kita dapat tahu daripada mulut beliau sendiri. Tapi saya rasa keputusan ini kita patut hormati.

Saya rasa mungkin beliau ingin memberi peluang kepada orang lain untuk membawa bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lain.”