Bagaimana pemain nak fokus pada kejohanan ini jika kelab minta pemain kembali dan lewat lapor diri – Pau Marti
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti menyuarakan rasa kesalnya terhadap situasi yang sedang berlaku dalam skuad negara ketika ini apabila mereka tidak dapat memberi fokus sepenuhnya.
Menurut Pau Marti, pemain-pemain tidak dapat fokus kerana mereka tidak hanya perlu bermain untuk kejohanan Piala AMEC 2024 tetapi juga perlu bermain untuk kelab mereka dalam saingan liga domestik.
“Bagaimana kita nak fokus pada kejohanan ini apabila kelab-kelab meminta mereka kembali dan mereka lewat melaporkan diri. Ini sangat sukar untuk pemain dan saya rasa mereka cuba buat yang terbaik dalam keadaan seperti ini,”
katanya.
Pau Marti berkata demikian selepas pasukannya berjaya menang tipis 3-2 ke atas Timor-Leste pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala AMEC 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Tambahnya lagi, skuad negara sepatutnya sentiasa berada dalam situasi terbaik kerana kejohanan ini sangat penting di Asia Tenggara dan semua pasukan yang bertanding mahu menjuarainya.
“Bagi saya pasukan kebangsaan jadi ia sepatutnya sentiasa berada dalam situasi terbaik dan skuad terbaik di negara untuk semua pihak menyokong.
Apabila anda sentiasa berdepan dengan isu seperti ini, ia menjadi lebih sukar.”
Dalam pada itu, Pau Marti turut menyuarakan kebimbangan untuk perlawanan ketiga bertemu gergasi Thailand di Bangkok pada 14 Disember ini apabila tiga tonggak utama iaitu Syafiq Ahmad, Darren Lok dan Fergus Tierney mengalami kecederaan.
“Untuk aksi menentang Thailand, saya yakin pemain akan buat yang terbaik. Dengan situasi ketika ini kami akan cuba dapatkan skuad yang terbaik. Kami akan buat keputusan nanti.”
Skuad negara akan akan terbang ke Bangkok esok dan mempunyai tempoh yang cukup singkat untuk buat persiapan sebelum turun beraksi.
“Ini kali pertama kami bermain bersama, kami hanya mempunyai dua atau tiga hari untuk persiapan. Selepas perlawanan menentang Kemboja, kami tidak berlatih dengan betul, kami hanya berehat dan kembali semula untuk perlawanan. Esok kami akan terbang dan dalam dua hari lagi, kami mempunyai satu lagi perlawanan.”
Sementara itu, Pau Marti turut menyeru penyokong untuk turun membanjiri SNBJ pada perlawanan terakhir menentang Singapura pada 20 Disember bagi memberi sokongan dan motivasi tambahan kepada pasukan.