Harap AFL main peranan komersialkan Liga M3 – CEO Manjung City FC

275

Ketua Pegawai Eksekutif Manjung City FC, Syamsul Hazeman Md Salleh berharap Amateur Football League (AFL)  dapat mencari jalan untuk menaikkan nilai komersial Liga M3.

“Saya rasa ketika ini nilai komersial Liga M3 masih belum mencapai ke tahap sepatutnya. Jika kita bercakap mengenai nilai komersial yang AFL boleh bagi tapi mungkin kita belum sampai ke tahap itu.

Jadi harap AFL perlu main peranan untuk komersialkan liga ini supaya ia mempunyai nilai yang tinggi di mata masyarakat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syamsul berkata untuk kelab Manjung City, pembabitan mereka dalam saingan Liga M3 bukan sahaja memberi publisiti kepada daerah Manjung, tetapi juga dapat menaikkan ekonomi masyarakat setempat.


Manjung City kini berada di puncak dalam kumpulan A selepas dua perlawanan yang mana mereka berjaya mengutip enam mata penuh apabila menewaskan Imigresen FC dan FC Langkawi.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai sasaran mereka dalam saingan Liga M3 musim ini, Syamsul berkata mereka tidak akan meletak sasaran yang tidak mampu dicapai.

“Kami meletak sasaran yang realistik. Pada mulanya kami sasar untuk pastikan terus kekal dalam saingan liga sahaja, tetapi selepas melihat dengan prestasi pasukan lepas dua perlawanan kami meletak sasaran untuk berada dalam top 4 liga.”

Tambahnya lagi, sekiranya mereka mampu berada pada kedudukan empat teratas sudah pasti mereka akan cuba beri saingan sengit untuk rebut gelaran juara, bagaimanapun untuk bermain di Liga Perdana mereka masih belum memikirkan lagi.

Ini kerana semua sedia maklum perbelanjaan untuk saingan Liga M3 dan Liga Perdana umpama ‘langit dan bumi’, oleh itu mereka akan lihat dari sudut realistik terlebih dahulu samada Manjung City mampu atau tidak.

Sementara itu, Syamsul berkata ketika mereka menubuhkan Manjung City FC mereka telah menetapkan visi dan misi iaitu mahu melahirkan pemain bintang.

Oleh itu, ketika pemilihan pemain barisan kejurulatihan tidak akan melihat langsung sejarah atau pengalaman pemain sebaliknya menilai prestasi seseorang pemain ketika pemilihan berlangsung.

“Walaupun tiada sebarang berita rasmi namun saya percaya sudah ada pihak yang mula perhatikan pemain-pemain kita.”