Sehati sejiwa! Ayuh turun ke SNBJ untuk beri sokongan padu buat Harimau Malaya

281

Peluang buat pasukan kebangsaan Malaysia untuk melangkah dengan lebih jauh pada kejohanan Piala AMEC 2024 semakin cerah selepas pasukan Singapura tewas 4-2 kepada jaguh Thailand semalam.

Berdasarkan keputusan semalam, skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan keempat dalam Kumpulan A berkongsi mata dengan pasukan Kemboja yang berada di kedudukan ketiga, manakala Singapura pula kekal dengan enam mata selepas tiga perlawanan.


Skuad kendalian Pau Marti akan turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan pada Jumaat ini menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang mana ia dijangka akan menjadi perlawanan yang cukup menarik untuk disaksikan.

Ini kerana skuad negara dalam misi wajib menang untuk mencerahkan peluang mereka ke separuh akhir kerana sekiranya seri mereka akan sah tersingkir dari kejohanan pada edisi kali ini.

Selain saingan dari Singapura yang sudah semestinya akan turut bermain mati-matian untuk mendapatkan slot ke peringkat kalah mati, Kemboja juga turut berpeluang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir sekiranya mereka berjaya menumbangkan Thailand nanti.

Peluang untuk Kemboja mendapatkan tiga mata penuh tampak cerah kerana Thailand sudah pun mengesahkan tempat mereka di peringkat separuh akhir jadi tidak mustahil sekiranya mereka akan turunkan skuad yang berbeza untuk beri tempoh rehat yang lama buat tonggak utama mereka.

Oleh itu persaingan dalam Kumpulan A kini menjadi tiga penjuru yang mana Malaysia, Singapura dan Kemboja masing-masing akan buat yang terbaik bagi memastikan baki satu slot ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Di waktu genting seperti ini, skuad negara pastinya perlukan ‘pemain ke-12’ mereka iaitu penyokong untuk turut turun ke stadium bagi memberikan sokongan padu buat pasukan kesayangan.

Pemain-pemain sendiri mengakui kehadiran puluhan ribu penyokong akan memberikan mereka tonik tambahan dan lebih bersemangat untuk mendapatkan kemenangan buat penyokong.

Bagaimanapun sambutan terhadap penjualan tiket untuk perlawanan pada Jumaat ini di SNBJ cukup mengecewakan apabila setakat semalam hanya 4,138 tiket sahaja terjual.

Mungkin penyokong mahu melihat terlebih dahulu keputusan perlawanan di antara Singapura dan Thailand dan memandangkan skuad The Lions tewas maka aksi terakhir akan menjadi cukup penting kerana ia akan menentukan samada Harimau Malaya mampu layak ke separuh akhir atau sebaliknya.

Jadi, ayuh Ekor Harimau Malaya turun ke SNBJ pada Jumaat ini untuk beri sokongan padu buat pasukan negara.

Tiket perlawanan boleh dibeli secara dalam talian di tickethotline.com.my.