Kami bersemangat mahu menang untuk Coach Pau Marti – Haqimi Azim
Penyerang pasukan kebangsaan, Haqimi Azim memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan cukup bersemangat untuk perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AMEC 2024 menentang Singapura kerana mahu memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
Menurut Haqimi, mereka berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk membawa pulang tiga mata penuh yang mana kemenangan itu akan didedikasikan kepada ketua jurulatih Pau Marti.
“Kami memang bersemangat unutk menang nanti. Kami akan buat sehabis yang baik untuk Coach Pau,”
katanya.
Menurut Haqimi, peluang untuk mereka merebut tempat ke peringkat separuh akhir terbuka selepas menyaksikan Thailand berjaya menewaskan Singapura 4-2 pada perlawanan Kumpulan A yang berlangsung semalam.
Susulan kekalahan Singapura itu, skuad Harimau Malaya mempunyai peluang dengan syarat mereka perlu pastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada aksi yang akan berlangsung Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Agak mendebarkan menyaksikan perlawanan Thailand dan Singapura. Thailand berjaya menang jadi peluang itu terbuka untuk kita.
Sekarang ia terletak kepada diri kita samada nak atau tidak peluang itu. Sudah pastinya kita akan buat yang terbaik pada Jumaat ini.”
Dalam pada itu, Haqimi juga memberitahu dirinya berada dalam pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk turun menggempur gawang lawan selepas mempamerkan persembahan yang cukup menyakinkan pada perlawanan menentang Thailand tempoh hari.
“Jika Coach letakkan saya sebagai pemain nombor sembilan saya pasti akan buat yang terbaik untuk bantu pasukan. Sudah lama saya tidak bermain di posisi penyerang jadi jika diberi peluang saya akan buat yang terbaik.”
Beliau juga tidak melihat tumpuan yang diberikan kepadanya untuk menjaringkan gol sebagai satu tekanan sebaliknya menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangatnya.
Sementara itu, Haqimi turut menyeru kepada penyokong untuk turun ke SNBJ bagi memberikan sokongan padu buat skuad negara.