Endrick yakin Harimau Malaya punya peluang untuk menang kerana bermain di SNBJ
Pemain pasukan kebangsaan, Endrick dos Santos mengakui mereka mempunyai peluang untuk menang pada perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AMEC 2024 menentang Singapura pada Jumaat ini.
Menurut Endrick, untuk aksi nanti mereka akan turun dengan skuad lengkap selepas beberapa tonggak utama sudah kembali dalam skuad dan apa yang membuatkan mereka berkeyakinan untuk dapat keputusan positif adalah kerana mereka akan bermain di tempat sendiri iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Ini perlawanan terakhir dan kami perlu menang. Saya rasa kami mempunyai peluang cerah kerana kita bermain di SNBJ jadi kami lebih kuat apabila bermain di tempat sendiri.
Kami gembira kerana masih mempunyai peluang (mara ke separuh akhir) jadi kami perlu fokus pada permainan kami. Ini adalah situasi sama yang berlaku pada Piala AMEC tahun lepas,”
katanya.
Peluang untuk Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir terbuka selepas Singapura tewas 4-2 kepada Thailand semalam sekaligus menyaksikan satu lagi slot untuk ke peringkat kalah mati kini menjadi rebutan tiga pasukan iaitu Malaysia, Singapura dan Kemboja.
Dalam pada itu, Endrick mengakui pasukan Singapura mempunyai skuad yang bagus yang mana mereka bermain dengan corak permainan yang pantas tetapi beliau enggan terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya mahu fokus pada pasukan sendiri.
Endrick turut mengakui skuad negara turut mempunyai ramai pemain yang berkualiti yang mana ia dapat dilihat pada perlawanan menentang Thailand tempoh hari biarpun mereka tewas tipis 1-0.
“Pada pandangan saya kami bermain dengan cukup baik ketika menentang Thailand, jadi kami akan cuba kekalkan momentum itu.
Sudah lama saya tidak melihat Malaysia bermain dengan Thailand yang mana kami mendominasi perlawanan dengan menguasai bola.”
Beliau turut menyeru agar penyokong dapat turun membanjiri SNBJ bagi memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.
Sementara itu, Endrick juga berkata penjaga gol Haziq Nadzli berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk turun beraksi biarpun beliau sebelum ini dikecam hebat oleh penyokong susulan kesilapannya ketika perlawanan menentang Thailand.
“Kami semua rapat dengan beliau. Kami sentiasa berada di belakang beliau dan tahu beliau adalah seorang penjaga gol yang bagus. Perkara ini boleh berlaku kepada saya atau mana-mana pemain. Jadi kami harap seluruh negara turut menyokongnya juga.
Saya rasa beliau bersedia untuk bermain jika jurulatih pilih beliau untuk turun beraksi.”